Rabu, 17 Jun 2009

Calon SPM aliran Sains Agama dibenarkan ambil 11 subjek

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran hari ini memutuskan untuk memberi pengecualian kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aliran Sains Agama untuk mengambil 11 mata pelajaran maksimum bagi peperiksaan itu tahun depan.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata bagaimanapun, 10 mata pelajaran maksimum SPM bagi tahun 2010 yang ditetapkan sebelum ini masih kekal untuk calon lain.

"Kementerian bersetuju dengan rayuan daripada pihak pentadbir Sekolah Menengah Agama supaya pelajar diizinkan mengambil 11 mata pelajaran, ia merupakan pengecualian terhadap pelajar yang perlu mengambil aliran Sains dan Agama sekaligus," kata Muhyiddin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, dalam sidang media sebelum mengadakan perbincangan dua hala dengan delegasi Persidangan Menteri Pelajaran Komanwel di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Muhyiddin berkata pengecualian itu hanya untuk peperiksaan pada tahun 2010 dan akan kembali kepada 10 mata pelajaran maksimum bagi calon aliran Sains Agama pada tahun 2011.

"Ini kerana mereka tidak boleh tukar (mata pelajaran) dengan segera, tetapi mulai 2011 semua calon akan ambil 10 mata pelajaran sahaja, maknanya kita beri tempoh kepada sekolah agama untuk membuat pengubahsuaian dan calon memilih mata pelajaran yang benar-benar dikuasai mereka," katanya.

Beliau berkata selain empat mata pelajaran teras yang diambil oleh calon aliran berkenaan, tujuh mata pelajaran elektif yang diambil ialah AlQuran, Sunnah, Bahasa Arab Tinggi, Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.

Muhyiddin berkata keputusan itu diharapkan dapat menyumbangkan kepada pembinaan modal insan yang bukan sahaja mempunyai kekuatan "pendidikan pengetahuan" tetapi juga "pendidikan insaniah".

Beliau berkata di samping itu, ia akan menolak sesetengah persepsi yang mengatakan Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan.

"Jika ambil sejumlah (mata pelajaran) yang banyak itu, sudah pastinya ia menjurus kepada keputusan yang baik dan ia menjadi terlalu berorientasikan peperiksaan, maka kita akan bangunkan potensi murid dalam jurusan yang dipilih secara lebih intensif dan komprehensif," katanya.

Beliau berkata dengan itu guru dan pelajar juga akan mempunyai lebih masa untuk menjalankan aktiviti kokurikulum yang pastinya mampu membangunkan potensi akal, jasmani dan emosi pelajar secara seimbang dan selari dengan falsafah pendidikan negara.

Kementerian baru-baru ini mengehadkan sejumlah 10 mata pelajaran yang boleh diambil oleh pelajar dalam peperiksaan SPM bagi memastikan keadilan dalam pemberian biasiswa kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.

Bagaimanapun, 21 kesatuan dan persatuan guru seluruh negara barubaru ini membantah dan mahukan had mata pelajaran yang boleh diambil calon SPM ditingkatkan kepada 12 subjek.

Sementara itu, mengenai cadangan kementerian untuk mewajibkan calon lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan SPM, Muhyiddin berkata hampir 80 peratus daripada keseluruhan maklum balas bersetuju dengan cadangan itu.

"Kita belum ada keputusan, masih mengumpul maklum balas, walaupun hampir 80 peratus setuju dengan pandangan yang saya suarakan, saya minta supaya ada respons dan kita akan buat kajian terperinci," katanya.

Beliau berkata kebanyakan responden yang bersetuju dengan cadangan itu turut menetapkan beberapa syarat antaranya kementerian perlu memastikan tenaga pengajar mencukupi, guru Bahasa Inggeris cukup terlatih dan perlu mengambil kira pelajar di luar bandar.

"Menerusi website kementerian juga kita terima lebih 3,000 pandangan dan mengatakan bahawa idea ini bagus," katanya sambil menolak bahawa kerajaan mengenepikan kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi cadangan itu.

Beliau berkata keputusan mengenai cadangan itu mungkin akan dibuat dalam tahun ini juga.

Tiada ulasan: