Selasa, 2 Jun 2009

Bumbung stadium runtuh, Pemuda PAS desak SPRM siasat

Mat Zain Mat Isa


KUALA TERENGGANU - Dewan Pemuda PAS Terengganu mendesak Menteri Besar, Dato' Ahmad Said memberikan penjelasan segera berhubung keruntuhan bumbung utama di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, kira-kira 15 kilometer dari sini yang berlaku pagi Selasa (2 Jun).

Timbalan Ketuanya, Ustaz Wan Sukairi Abdullah dalam kenyataan awal kepada Harakahdaily melahirkan rasa terkejutnya di atas kejadian yang amat memalukan itu. Ia malah dianggap tidak sepatutnya berlaku memandangkan stadium bernilai lebih RM200 juta itu baru sahaja siap dibina lebih setahun lalu dan dikatakan masih dalam jaminan pihak kontraktor.

Stadium yang merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu baru siap dibina lebih setahun lalu. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu dilaporkan runtuh. Kejadian itu disedari berlaku pagi Selasa, tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.

"Fakta itu (ketiadaan ribut atau angin kencang) menyebabkan kita mengesyaki ia berpunca daripada kecuaian manusia. Apatah lagi sebelum ini pun sudah beberapa kes keruntuhan bangunan yang baru siap telah berlaku di negeri ini," kata Wan Sukairi.

Beliau dipercayai merujuk kepada beberapa kes serupa yang dilaporkan berlaku sebelum ini. Ia termasuklah dua kejadian berasingan melibatkan keruntuhan bumbung dewan besar sebuah sekolah menengah dan siling dalam kelas di sebuah sekolah di Marang.

Turut dilaporkan juga sebelum ini, beberapa struktur dalaman Bazar Warisan di tengah-tengah bandar raya Kuala Terengganu yang baru siap tidak sampai setahun turut rosak dan runtuh.

Sehubungan itu, Wan Sukairi tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dalam pembinaan Stadium Sultan Mizan, sehingga menyebabkan keruntuhan bumbungnya itu.

"Bagi mana-mana projek sebesar itu (pembinaan stadium), setiap 'progress' mesti diperiksa dan disahkan lulus oleh pihak yang bertanggungjawab. Kalau semuanya dibina mengikut spesifikasi, mana mungkin ianya runtuh?," soalnya.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS turut mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera membuka kertas siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian, terutama sebarang kemungkinan wujudnya unsur-unsur rasuah dan penyelewengan sepanjang pembinaan stadium tersebut.

Menurut Wan Sukairi, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.- mns_

Tiada ulasan: