Jumaat, 12 Jun 2009

Bina terowong Satun-Perlis

Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL


KANGAR - Kerajaan Thailand mencadangkan sebuah terowong sejauh empat kilometer dibina bagi menghubungkan Wilayah Satun, Thailand dan negara ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, cadangan itu dikemukakan sempena lawatan rasmi Gabenor Satun, Sumeth C. Vatnikul bersama 30 rombongan ketua-ketua jabatan wilayah tersebut ke Perlis hari ini.

Katanya, cadangan awal itu membabitkan pembinaan sebuah terowong sejauh 2.5 kilometer yang bermula di Kampung Bang Hwa Tang, Satun dan 1.5 kilometer di Bukit Bintang, Sungai Batu Pahat, di sini.

''Ini merupakan perbincangan awal antara kedua-dua pihak dalam membangunkan kawasan sempadan dan mengeratkan hubungan dalam pelbagai aspek yang terbina sejak ratusan tahun dahulu.

''Pihak kerajaan Perlis amat mengalu-alukan cadangan yang dikemukakan itu untuk tindakan selanjutnya,'' katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Berkaitan Pembangunan Sempadan di Komplek Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan Wilayah Satun dan kerajaan negeri Perlis.

Rombongan itu merupakan misi perbincangan rasmi pertama yang diadakan selepas beberapa rombongan sebelum ini.

Sebelum ini, perjalanan dari Kangar ke pekan Satun, Thailand mengambil masa satu setengah jam tetapi sekiranya terowong itu direalisasikan masa perjalanan dapat dijimatkan kepada 30 minit sahaja.

Md. Isa berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan untuk membincangkan perkara tersebut sebelum ia diserahkan kepada kerajaan Pusat untuk membuat keputusan.

''Jawatankuasa ini akan memperincikan hal berkaitan kesan terhadap alam sekitar, kos terlibat, kebaikan yang diperoleh dan beberapa isu lain termasuk keselamatan.

''Perkara yang sama juga akan dilakukan oleh pihak pentadbiran Satun sebelum menyerahkan hasil rundingan untuk kelulusan kerajaan Thailand,'' ujarnya.

Katanya, laluan itu merupakan cadangan alternatif yang dikemukakan oleh kerajaan Thailand selepas cadangan sebelum ini di laluan Bukit Batu Putih, di sini memberikan kesan terhadap alam sekitar kepada kedua-dua pihak.

Sementara itu, Sumeth berharap kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Perlis dapat meneruskan kerjasama yang wujud antara wilayah itu sebelum ini.

''Cadangan pembinaan terowong ini mungkin memerlukan kos yang tinggi. Oleh itu, selepas membuat lawatan, kita mendapati terdapat laluan berbukit sejauh dua kilometer yang mungkin boleh dimajukan untuk dibina jalan raya.

''Laluan ini antara Kampung Syed Omar dan Puju yang terletak dalam daerah Tamelang, Satun,'' ujarnya.

Tambahnya, satu cadangan baru mungkin akan dipanjangkan sekiranya pembinaan terowong itu tidak dapat dilaksanakan.

Tiada ulasan: