Rabu, 10 Jun 2009

Beri sebab jika tidak setuju 10 mata pelajaran

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengehadkan tidak lebih daripada 10 mata pelajaran di kalangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu mengemukakan sebab yang kukuh bagi menyokong pandangan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu adalah perlu bagi memboleh kerajaan membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan pelajar.

"Kita akan teliti pandangan mereka ini dan mesti ada asas-asas yang kukuh. Mungkin ada pihak lain yang bukan meminta 12 mata pelajaran sebaliknya 11 sahaja, jadi kita ambil kira pandangan ini dan akan buat keputusan dalam tempoh tidak berapa lama lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Bilangan 1/2009 di Seri Kembangan dekat sini hari ini.

Muhyiddin mengulas cadangan yang dikemukakan 21 kesatuan dan persatuan guru seluruh negara baru-baru ini yang mahukan had mata pelajaran yang boleh diambil calon SPM ditingkatkan kepada 12 subjek.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, cadangan kerajaan untuk mengehadkan kepada 10 mata pelajaran adalah berasaskan kepada sebab yang kukuh dan ia telah dipersetujui banyak pihak.

"Ini pandangan mereka (ditambah kepada 12 subjek), kita ada asas mengapa perlu 10 mata pelajaran.

"Walaupun kita belum buat keputusan lagi, ada ramai juga yang bersetuju dihadkan kepada 10 mata pelajaran," jelasnya.

Menurut beliau, langkah mengehadkan mata pelajaran itu bukan sahaja dibuat di Malaysia malah turut dilaksanakan di banyak negara-negara lain termasuk Singapura.

"Langkah ini bukan bermakna kita hendak menyekat kreativiti pelajar sebaliknya bagi membolehkan mereka memberi fokus kepada subjek teras yang penting.

"Kita mahu pelajar menggunakan masa yang ada untuk membina kreativiti dalam bidang-bidang kokurikulum, sukan serta aktiviti luar sekolah," katanya.

Tiada ulasan: