Isnin, 15 Jun 2009

Benarkan pembantu asing negara China - PAPA

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) meminta kerajaan membenarkan kemasukan pembantu rumah dari China bagi mengurangkan pergantungan masyarakat Cina di negara ini terhadap pembantu rumah Indonesia.

Presiden PAPA, Zulkepley Dahalan berkata, pihaknya yakin melalui langkah itu masalah penderaan serta tekanan membabitkan pembantu rumah Indonesia yang bekerja dengan majikan Cina dapat diatasi.

Menurutnya, pembantu rumah dari China banyak persamaan dengan majikan Cina iaitu dari segi budaya, bahasa serta makanan dan secara tidak langsung ia boleh menjadi faktor wujudnya kesesuaian kedua-dua pihak.

"Kebanyakan punca kes penderaan melibatkan pembantu rumah Indonesia khususnya yang beragama Islam disebabkan berlaku pertembungan budaya, bahasa dan makanan.

"Begitu juga dengan tekanan- tekanan yang mereka hadapi. Kami dapati ia juga berpunca daripada ketiga-tiga perkara berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas seorang pembantu rumah, Siti Hajar, 33, dari Garut, Jawa Barat yang melarikan diri ke Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) selepas mendakwa sering diseksa oleh majikannya baru-baru ini.

Selain itu, majikannya merupakan seorang wanita sanggup memberi Siti Hajar yang beragama Islam makan nasi berlaukkan daging babi sejak hampir tiga tahun lalu.

Mingguan Malaysia hari ini pula melaporkan, seorang pembantu rumah warga Indonesia meluahkan rasa kecewanya dalam lima helai nota, sebelum bertindak menggantung diri menggunakan kain batik di rumah majikannya di Taman Seri Damai di sini semalam.

Zulkepley berkata, sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan itu, beliau sendiri akan ke China untuk menguruskan mengenai pengambilan pembantu rumah dari negara itu.

Mengenai gaji pembantu rumah China, beliau berkata, pihaknya mencadangkan gaji mereka lingkungan RM800 hingga RM1,000.

"Setakat ini hanya 17 pembantu rumah dari negara China bekerja di negara ini dan mereka datang melalui permintaan khas," katanya.

Dalam pada itu, beliau merayu pihak majikan dari kaum Cina supaya lebih bertimbang rasa terhadap pembantu rumah mereka.

"Pembantu rumah adalah manusia dan mereka tidak harus dibebankan dengan tugas yang tidak munasabah. Adakalanya pembantu rumah diminta membasuh kenderaan, menjaga kedai dan sebagainya.

"Lebih malang lagi ada yang dipotong gaji sekiranya mereka memecahkan cawan memecahkan pinggan. Kita meminta majikan harus lebih bertimbang rasa," tambahnya.

Tiada ulasan: