Selasa, 9 Jun 2009

Bekalan gula tidak terjejas

Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL


PADANG BESAR - Pengeluaran gula oleh Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd. (KGFP) tidak akan terjejas walaupun hasil ladang tebu milik Perlis Plantation Berhad (PPB) berkurangan sebanyak 50 peratus.

Pengurus Besar Kanan KGFP, Mohamad Amri Sahari berkata, operasi kilang itu untuk menghasilkan gula tidak bergantung sepenuhnya kepada pengeluaran tebu di negara ini sebaliknya menggunakan bekalan bahan mentah yang diimport.

Katanya, penggunaan tebu yang ditanam di Perlis mewakili 16 peratus keperluan bahan mentah dan selebihnya diimport dari Brazil, Indonesia dan Thailand.

''Kilang yang beroperasi boleh menggunakan bahan mentah daripada gula yang diimport dari luar negara jadi masalah kekurangan kawasan penanaman tebu tidak menjadi masalah besar.

''Dianggarkan 12,000 hingga 16,000 tan gula sebulan dikeluarkan oleh KGFP untuk kegunaan rakyat negara ini bersama tiga lagi kilang gula yang terdapat di negara ini,'' katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kemungkinan wujudnya masalah pengeluaran gula selepas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang sebelum ini menanam tebu di Chuping beralih kepada tanaman getah.

Terdahulu beliau menyerahkan sejumlah sumbangan pampasan kepada keluarga Fatimah Ibrahim di Kampung Perit, Chuping di sini selepas arwah suaminya, Kerya Darus terlibat dalam kemalangan pada 31 Disember lalu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Hal Ehwal Wanita, Hal Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan dan Tugas-Tugas Khas Perlis, Mansor Jusoh.

Mohamad Amri menjelaskan, kos sebenar untuk memproses bekalan bahan mentah dari ladang tebu sebenarnya lebih tinggi berbanding penggunaan bahan mentah yang diimport.

''Bagaimanapun kita tidak bercadang menghentikan penggunaan bahan mentah dari ladang tebu di negara ini atas beberapa faktor walaupun menyedari kosnya sekali ganda lebih mahal,'' jelasnya.

Tiada ulasan: