Rabu, 17 Jun 2009

Bayi tiada kemaluan

Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL


KANGAR - Seorang ibu muda di Kampung Batu Lima, Kuala Perlis, di sini merayu agar ada doktor pakar atau pihak tertentu yang dapat membantu anaknya, Muhammad Nabil Mustaqim Rodzake, 10 bulan yang dilahirkan tanpa kemaluan.

Ibu kanak-kanak malang itu, Zatul Bazamah Abd. Rahman, 26, memohon sekiranya ada pihak yang dapat membantu anaknya itu demi masa depan bayi tersebut.

Katanya, disebabkan tiada alat kemaluan sejak dilahirkan pada 10 Ogos lalu, anaknya itu terpaksa membuang air besar dan kencing melalui dubur.

''Saya sayu memikirkan masa depannya jika dia makin membesar tanpa kemaluan dan tekanan emosi yang mungkin dia alami.

''Saya merayu agar ada pihak yang dapat membantu Muhammad Nabil demi masa depannya,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Nabil merupakan anak kedua pasangan itu yang dilahirkan dengan beberapa kecacatan lain iaitu tiada ibu jari tangan kanan, tiada telinga kanan dan mengalami masalah dengan kelopak mata.

Zatul memberitahu, kini anaknya itu menerima rawatan daripada doktor pakar di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

''Doktor pakar memberitahu, kecacatan lain yang dialami oleh anak kami boleh diatasi dengan membuat pembedahan plastik dan telinganya boleh ditebuk apabila mencecah umur empat tahun.

''Berhubung masalah kemaluan, doktor pakar memaklumkan tiada cara tertentu buat masa ini dan hanya boleh menunggu sehingga dia dewasa untuk melihat perkembangannya,'' ujarnya.

Katanya, sebelum ini dia mengalami masalah untuk menentukan jantina anaknya itu tetapi perkara tersebut dapat diselesaikan apabila ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan anaknya itu lebih kepada lelaki.

''Doktor pakar itu juga memberitahu, dia tidak pernah bertemu kes sebegini kecuali 20 tahun lalu terhadap seorang lelaki yang telah dewasa.

''Doktor itu belum menemui kes yang melibatkan kanak-kanak. Oleh itu saya berharap sangat sekiranya ada pihak yang dapat membantu anak kami ini,'' jelasnya.

Sementara itu, bapa bayi itu, Rodzake Namis, 34, yang berniaga gerai berkata, pemeriksaan di hospital mendapati anaknya itu hanya mempunyai satu saluran najis sahaja.

''Saya bimbang jika dia telah dewasa, perkara ini akan memberi kesan yang amat besar terhadap dirinya terutama apabila menyentuh hal perkahwinan.

''Mungkin ketika dia masih kecil, sesuatu boleh dilakukan bagi membantunya,'' katanya.

Tiada ulasan: