Ahad, 21 Jun 2009

Bayi tanpa kemaluan kekal lelaki

Oleh Adha Ghazali


KUALA PERLIS: Bayi berusia 10 bulan yang dilahirkan tanpa kemaluan, Muhammad Nabil Mustaqim Rodzake perlu kekal sebagai lelaki berdasarkan keadaan fizikalnya yang lebih cenderung kepada lelaki kerana mempunyai buah zakar, kata Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.

Beliau yang meneliti keadaan Muhammad Nabil di kediaman keluarga bayi itu di Batu 5, di sini semalam, berkata parasnya juga lebih menyamai lelaki, manakala dari segi genetik turut disahkan sebagai lelaki kerana mempunyai kromosom XY.

“Ini disokong ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang mengesahkan 70 peratus hormon bayi ini lelaki. Pada pandangan saya tidak wajar jantinanya ditukar kerana mungkin alat sulitnya perlu masa untuk tumbuh.

“Tindakan menukar jantina dilihat tidak kena pada masanya kerana bayi ini juga menunjukkan kecenderungan sebagai lelaki,” katanya yang meluangkan masa hampir sejam di kediaman Muhammad Nabil sambil berbincang dengan bapa bayi itu, Rodzake Namis, 35, dan isteri, Zatul Bazamah, 26.

Media sebelum ini melaporkan kemusykilan Rodzake untuk menentukan jantina anaknya yang dilahirkan dengan hanya memiliki dua buah zakar tanpa alat kelamin, selain mengalami kekurangan fizikal iaitu tiada kelopak mata dan cuping telinga kiri, mempunyai sembilan jari tangan serta saluran pernafasan sempit.

Mengenai hukum, Juanda berkata, kes Muhammad Nabil berbeza dengan khunsa yang memiliki dua alat kelamin dan hanya dibenarkan memilih jantina apabila mereka mencapai usia baligh, bergantung sama ada datang haid atau keluar air mani.

“Islam melarang insan menukar jantina, apatah lagi dalam kes Muhammad Nabil yang dari segi genetiknya disahkan lelaki.

“Saya sedar kebimbangan ibu bapa bayi ini terutama mengenai masa depan anak mereka jika alat sulitnya tidak tumbuh.

“Saya nasihatkan mereka supaya kekalkan jantina Muhammad Nabil sebagai lelaki buat masa ini dan jika ujian semula DNA mengesahkan genetik perempuannya lebih dominan berbanding lelaki, barulah hasrat menukar jantina bayi itu difikirkan,” katanya.

Tiada ulasan: