Isnin, 22 Jun 2009

Bapa sedia kekalkan jantina anak

Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL


KANGAR - Bapa bayi yang dilahirkan tanpa kelamin, Rodzake Namis, 35, akan membesarkan anaknya, Muhammad Nabil Mustaqim, 10 bulan sebagai seorang lelaki.

Katanya, beliau menghormati pandangan dan nasihat yang diberikan oleh Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya yang mahu anaknya itu dibesarkan sebagai seorang lelaki selepas melawatnya semalam.

''Saya reda dengan kurniaan yang diberikan Allah SWT kepada kami dan akan mendidiknya sebagai seorang lelaki.

''Sebelum ini, ada niat untuk menukarkan jantina bayi saya ini demi masa depannya, tetapi tindakan itu hanya selepas mendapat pandangan golongan ulama dan perubatan. Selepas apa yang dikatakan oleh Mufti Perlis semalam, saya akan terus membesarkan anak ini sebagai seorang lelaki," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas nasihat Mufti Perlis yang meminta agar membesarkan bayinya itu sebagai seorang lelaki.

Ini ekoran ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan oleh doktor mengesahkan bayi tersebut mempunyai genetik seorang lelaki.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bayi istimewa tersebut yang dilahirkan 10 Ogos tahun lalu tidak mempunyai jantina walaupun memiliki buah zakar.

Selain itu, bayi tersebut turut mempunyai kecacatan lain termasuk tiada kelopak mata, memiliki sembilan jari, mempunyai sebelah telinga kiri dan ruang pernafasan hidung yang sempit.

Sementara itu, Dr. Juanda yang melawat keluarga itu di Kampung Batu 5, Kuala Perlis semalam turut menasihatkan ibu bapa bayi itu agar reda dengan ketentuan Allah terhadap kejadian yang berlaku.

Tiada ulasan: