Isnin, 22 Jun 2009

Arab City di Melaka tahun 2011

Oleh SHAWKATH AZDE


KUALA LUMPUR – Melaka yang kaya dengan warisan sejarah negara bakal mencatat sejarah lagi apabila menjadi lokasi pertama di dunia memiliki Arab City menjelang 2011.

Arab City yang dibangunkan syarikat swasta, Golden Corporate Heritage Sdn. Bhd., (GCH), bernilai RM1.2 bilion itu melibatkan kawasan 13 hektar yang membabitkan tiga fasa pembangunan di Pulau Melaka, Klebang dan Kampung Jawa.

Pengarah Urusannya, Hesham Fathi berkata, fasa pertama projek itu akan melibatkan kos berjumlah RM250 juta di Pulau Melaka yang dijangka siap lebih awal daripada perancangan asalnya dan pelancarannya dijangka pada bulan Mac 2010.

“Fasa pertama yang membabitkan kawasan seluas 1.38 hektar itu telah mula dimajukan pada bulan Mei lalu dan ia merupakan sebuah kompleks perniagaan yang memiliki 240 bazar, sebuah muzium Mesir dan 20 buah restoran kafe berkonsepkan Arab,’’ katanya dalam satu perjumpaan di sini kelmarin.

Turut hadir ialah Presiden GCH, Saleh Al Mansour.

Hesham menjelaskan, projek tersebut turut memiliki spa khas untuk lelaki serta wanita seperti yang terdapat di Asia Barat.

Menurutnya, setelah ketiga-tiga projek itu disiapkan, sebanyak 200,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan manakala 75 peratus daripadanya adalah untuk penduduk tempatan.

Tiada ulasan: