Rabu, 3 Jun 2009

Angkasa bantah

Oleh Helmy Abd Rahman


KUALA LUMPUR: “Jangan benarkan,” kata Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Rahim Abu Bakar, berhubung kemungkinan bank perdagangan diberikan keistimewaan membuat potongan gaji secara terus daripada kakitangan sektor awam yang membuat pinjaman daripada koperasi.

Katanya, langkah berkenaan jika diluluskan akan menjejaskan perolehan selain memberi tekanan kepada koperasi kredit di negara ini.

“Berbanding koperasi, bank perdagangan atau konglomerat mempunyai modal terlalu besar dengan sistem kewangan lebih hebat, tenaga kerja ramai dan pelbagai keistimewaan lain.

“Perkara ini bukan saja menekan koperasi kredit di negara ini, malah bertentangan dengan asas penubuhan koperasi untuk membangunkan sosial ekonomi negara,” katanya pada sidang media sempena seminar Kelebihan Koperasi dalam Krisis Ekonomi Global dan Konvensyen Hala Tuju Koperasi yang dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, semalam.

Selain itu, menurutnya, Angkasa hairan mengenai pemisahan Bank Rakyat daripada koperasi lain apabila diletakkan di bawah Kementerian Kewangan, walaupun bank berkenaan berstatus koperasi kredit.

“Mungkin perkara ini berlaku atas desakan pihak tertentu atau memang menjadi ‘trend’ apabila koperasi kredit menjadi terlalu besar, mereka ingin mengasingkan diri daripada kelompok koperasi.

“Angkasa berasa kurang senang dengan hal ini kerana jika terus berlaku, sampai bila pun koperasi tidak akan maju,” katanya.

Pada majlis sama, Abdul Rahim sempat menyerahkan resolusi menyatakan permintaan Angkasa kepada Ismail Sabri.

Mengulas perkara berkenaan, Ismail Sabri berkata, beliau menyokong penuh pendirian Angkasa dan akan memanjangkan permintaan terkandung dalam resolusi itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini.

“Bantahan ini antara tiga perkara utama terkandung dalam resolusi diserahkan dan saya berpandangan, biar bank perdagangan menumpukan kepada perniagaan utama saja. Berkenaan hal potongan gaji ini, biar Angkasa uruskan,” katanya.

Beliau berkata, selain dua perkara berkenaan, Angkasa merayu kerajaan memasukkan nama koperasi dalam kementerian yang bertanggungjawab ke atasnya bagi memudahkan segala urusan yang berhubung kait dengan koperasi ditangani selepas ini.

“Saya sudah maklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri dan mencadangkan nama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diubah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,” katanya.

Tiada ulasan: