Sabtu, 6 Jun 2009

Acara khas desak bubar DUN Perak

Abdul Rahim Sabri


Perbahasan ucapan dasar presiden di muktamar PAS hari ini dihentikan selama sepuluh minit bagi membolehkan satu acara khas mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Acara tersebut telah dilancarkan oleh timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa sambil diedarkan pengikat kepala berwarna hitam yang bertulis "bubarkan DUN".

Beberapa kali laungan takbir dan bubarkan DUN Perak bergema dari kalangan kira-kira 3,000 perwakilan di Stadium Malawati.

Kemelut di Perak tercetus Februari lalu apabila tiga ADUN dari Pakatan Rakyat keluar parti menjadi calon bebas tetapi menyokong BN.

Berikutan itu, BN bertindak mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri dan Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Beliau dilantik untuk menggantikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin - menteri besar Pakatan.

Isu tersebut kemudiannya diseret ke mahkamah untuk menentukan siapakah menteri besar Perak yang sah.

Mahkamah Tinggi kemudiannya memutuskan bahawa Nizar merupakan menteri besar yang sah.

Bagaimanapun, Zambry mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan yang kemudiannya membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelumnya.

Tiada ulasan: