Rabu, 17 Jun 2009

62,022 pelatih PLKN kumpulan 3 Siri 6 daftar

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Seramai 62,022 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) kumpulan 3 Siri 6/2009 mendaftarkan diri untuk menyertai latihan tiga bulan di 83 kem di seluruh negara yang diadakan selama dua hari, semalam dan hari ini.

Pergerakan pelatih di seluruh negara semalam meliputi pengangkutan darat, udara (kapal terbang) dan air (feri) iaitu sebanyak 566 bas digunakan membabitkan 31,430 pelatih selain 28 penerbangan bagi membawa 2,606 pelatih ke kem di Sabah dan Sarawak.

Seramai 1,120 pelatih pula dibawa ke kem masing-masing menerusi perkhidmatan feri membabitkan 12 feri iaitu di Kedah, Sabah dan Sarawak.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, seramai 3,682 pelatih melaporkan diri untuk menyertai program berkenaan di lima kem di Perak, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak. Daripada jumlah itu 733 pelatih dihantar ke Perak, 874 (Pahang), 130 (Selangor), 1,269 (Sabah) dan seramai 676 pelatih dihantar ke Sarawak.

Majlis perasmian pergerakan pelatih PLKN itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad di Stadium Bukit Jalil, semalam. Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Dr Abdul Latiff berkata, pihaknya sentiasa berusaha menambah baik perkhidmatan yang diberikan kepada pelatih PLKN dari segi penyediaan makanan, mewujudkan persekitaran yang selamat selain meningkatkan kualiti jurulatih yang bertugas membabitkan semua kem.

“Kita tak ada masalah dalam latihan dan pra-latihan yang diberikan kepada pelatih tetapi kementerian sentiasa mengambil berat isu penambahbaikan dari masa ke masa demi kebaikan semua pihak," katanya.

Beliau berkata, pelatih perlu menganggap kehadiran mereka selama 85 hari di kem PLKN sebagai peluang terbaik untuk memajukan diri selain memastikan hubungan rapat sesama kaum dapat dipertingkatkan sekali gus membentuk nilai murni dalam masyarakat.

Tiada ulasan: