Selasa, 16 Jun 2009

43 murid belajar bawah khemah

Oleh ABDUL YAZID ALIAS


KLANG - Seramai 43 murid Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Blok I, Flat Seri Perantau di Pelabuhan Klang di sini, terpaksa memulakan pembelajaran di bawah khemah setelah bilik darjah mereka dikunci hari ini.

Jawatankuasa komuniti blok di kediaman tersebut bertindak demikian atas alasan tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan tabika berkenaan kerana dikatakan tidak melangsaikan tunggakan sewa sejak lima bulan lalu sebanyak RM2,500.

Ekoran tindakan itu, seramai 40 penduduk flat berkenaan berkumpul dan mendesak supaya tabika terbabit dibuka semula sehingga hampir menimbulkan perbalahan dengan wakil jawatankuasa komuniti blok itu.

Namun, ketegangan itu berakhir apabila wakil jawatankuasa berkenaan bersetuju untuk membukanya semula kira-kira pukul 11 pagi melalui satu rundingan bersama dengan Jawatankuasa Tabika Kemas di kediaman tersebut.

Pengerusi jawatankuasa tabika terbabit, Che Li Abdul Hamid, 49, menyifatkan tindakan mengunci bilik darjah tabika berkenaan seolah-olah satu cubaan untuk menghalang kanak-kanak terbabit untuk mendapatkan pendidikan.

Katanya, sejak diwujudkan dua tahun lalu, tabika itu tidak pernah menerima sebarang arahan sama ada daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung bayaran sewa seperti yang dituntut oleh jawatankuasa berkenaan.

''Saya tidak faham dengan tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh jawatankuasa ini merantai pintu tabika sejak pukul 7.30 pagi," jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Che Li, tabika itu diwujudkan pada 2007 dan PKNS dan MPK telah meluluskannya tanpa bayaran sewa, manakala peruntukannya diperoleh terus daripada Kemas.

''Namun, hari ini mereka meminta supaya Kemas membayar sewa sebanyak RM500 sebulan yang dibayar terus ke akaun jawatankuasa itu atas alasan Kemas menceroboh premis blok I ini yang merupakan hak bersama penduduk," ujarnya.

Sementara itu, seorang guru tabika berkenaan, Norbaini Suparman, 42, mempersoalkan tindakan sedemikian dan menegaskan kelas prasekolah itu sendiri merupakan hak bersama penduduk.

Malah, katanya, tabika tersebut bukan hanya dikhaskan kepada kanak-kanak di Blok I, tetapi ia turut dibuka kepada semua kanak-kanak di seluruh Flat Seri Perantau.

Beliau menambah, kejadian itu adalah pertama kali dialaminya sejak 13 tahun berkhidmat di Kemas.

''Kita mahu pendidikan kanak-kanak dapat dilaksanakan sebaik-baiknya untuk masa depan mereka, bukan menghalang," ujarnya.

Tiada ulasan: