Ahad, 7 Jun 2009

2,000 sertai Perhimpunan Rakyat Marhaen2,000 hadiri Perhimpunan Rakyat Marhaen

UTUSAN ONLINE


KOTA BHARU - Kira-kira 2,000 ahli Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) dan penduduk tempatan menghadiri 'Perhimpunan Rakyat Marhaen' bagi menunjukkan bahawa orang Melayu 'tidak tidur' ketika ditekan oleh pelbagai pihak.

Perhimpunan yang diadakan di depan sebuah hotel di sini bermula kira-kira pukul 1.30 petang dan diketuai oleh Penasihat MTRK, Datuk Ibrahim Ali dan Presidennya, Zahari Kechik.

Mereka yang hadir memegang pelbagai sepanduk untuk menyokong dan mendesak kerajaan supaya tidak tunduk dengan pelbagai tekanan dari dalam serta luar melibatkan pelbagai isu termasuk kebenaran untuk membawa masuk semula Chin Peng.

Ibrahim ketika ditemui selepas perhimpunan tersebut berkata, perhimpunan tersebut menunjukkan bahawa orang Melayu masih bersatu untuk mempertahankan hak mereka.

"Pertama, kita mahu tunjukkan bahawa orang Melayu mengecam dengan kerasnya, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan yang mendesak kerajaan membenarkan Chin Peng pulang semula ke negara ini.

"Kedua, mengutuk Hindraf yang sama dengan PKM, cuma mereka tidak mengangkat senjata untuk berperang tetapi memalukan Malaysia di luar negara," katanya.

Katanya, banyak lagi permintaan melampau yang dibuat oleh golongan itu dan kerajaan perlu bertegas agar hak-hak Melayu dan bumiputera tidak dipinggirkan.

Tambahnya, orang Melayu perlu bersatu dan menyokong kerajaan supaya tidak dilihat lemah bagi memastikan golongan lain tidak berani mengambil kesempatan.

"Orang Melayu perlu bangkit bagi memastikan kita tidak dipijak dan dipandang lemah oleh mana-mana pihak," katanya.

Tiada ulasan: