Jumaat, 1 Mei 2009

YB Toh Jangan Cakap Kosong !

Wan Kay


KUALA TERENGGANU – Penduduk Kampung Cina Kuala Terengganu tidak puas hati dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Bandar, YB Toh Chin Yaw yang berlepas tangan dalam masalah yang mereka hadapi.

Mereka yang terlibat dengan pengambilan balik tanah kerajaan bagi kerja-kerja pembesaran jalan ‘double frontage’ di Pulau Warisan (belakang Kampung Cina) di sini, mendakwa tidak dipedulikan oleh ADUN tersebut.

Dalam keadaan mereka menghadapi masalah yang kritikal, wakil rakyat tersebut tidak muncul dan hanya membiarkan mereka berunding dengan pihak kontraktor sahaja.

Seorang penduduk, Encik Chong Wan Keh, 56, menuntut agar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Encik Toh Chin Yaw segera menunaikan ‘janji’ kepada penduduk terbabit dengan membahagikan borang-borang rumah.

“YB Toh (gambar kanan), jangan cakap ‘kosong’ sahaja kami (penduduk) mahu ada surat ‘hitam-putih’ bila bahagi-bahagikan borang rumah kepada rakyat.

“Akan datang jika dia (Toh) dibuang kerja (tidak jadi wakil rakyat), dia (Adun Bandar) akan kata tidak tahu menahu pula,” ujarnya.

Menurutnya, penduduk terbabit kini tidak lena tidur dan berada dalam kebimbangan selagi tidak ada jalan penyelesaian dengan kerajaan negeri.

Beliau antara penduduk yang pernah melakukan baik pulih bangunan yang didiaminya mencecah RM180,000.

Katanya, tawaran sejumlah RM5,000 sebagai bayaran saguhati kepada penduduk agar berpindah tidak berbaloi.

Pesara guru, Encik Chua Boon Seng, 69, mendakwa keluarganya mendiami bangunan di Kampung Cina tersebut sejak lebih 70 tahun lalu.

Katanya, jika kerajaan tetap mahukan penduduk berpindah wajar diberikan tempat baru bagi menjalankan perniagaan masing-masing.

“Jika kita (penduduk) disuruh pindah tetapi tidak diberi tempat baru atau pampasan yang manasabah macam mana kami hendak pindah.

“Kami (penduduk) semua terpaksa tutup perniagaan yang menjadi sumber pendapatan keluarga selama ini,” tegasnya.

Beliau bersetuju jika kerajaan hanya mengambil sebahagian (belakang) dari kawasan berkenaan serta tidak mengganggu di bahagian hadapan premis perniagaannya. (Gambar bawah - deretan presmis yang akan dirobohkan)

Katanya, di bahagian hadapan penduduk terbabit hendak berniaga serta tempat mencari rezeki.

Menurutnya, kos yang pernah dibelanjakan bagi membaik-pulih bangunan yang didiami sejak puluhan tahun itu mencecah RM200,000.

Walaupun wakil-wakil kerajaan pernah turun dalam majlis dialog sebelum ini, namun kerajaan UMNO/BN tidak langsung menunjukkan rasa prihatin dan belas kasihan kepada nasib penduduk yang terbabit.

Toh yang turut sama ketika itu, telah dicanggah oleh seorang penduduk kerana sering mengulang-ulangkan ucapan ‘ini rumah haram, ini rumah haram’.

Sedangkan menurut penduduk terbabit, mereka tidak duduk secara haram kerana lesen menumpang sementara (TOL) pernah dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan mereka membayar lesen tersebut.

Toh juga mengulangi ketidakcaknaan beliau terhadap masalah rakyatnya sendiri apabila menyanggah ADUN wakaf Mempelam yang cuba memperjuangkan nasib mereka yang teraniaya dalam sidang DUN baru-baru ini.

Selasa lalu, 28 April 2009, Selasa lalu, Toh tidak hadir semasa perbincangan diadakan diantara penduduk dengan wakil kontraktor berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Buletinonline difahamkan, Toh sedang bercuti dan melancong ke luar negara.

1 ulasan:

Teng Lang Po berkata...

SIAPA YANG CAKAP KOSONG ??

Artikel diatas dirujukan, J.K.K.K. Bandar yang ditugaskan khas oleh Y.B. Toh Chin Yaw (Adun Bandar) di Kampung Cina untuk membantu menyelesaikan masalah-masalah yang bakal menimbul kerana pembinaan projek “Double Frontage” di belakang Kampung Cina, ingin menerangkan kedudukan yang sebenar tentang proses pengambilan balik tanah kerajaan (rombakan bahagian bangunan yang diduduki tanpa kebenaran) itu.
Bilangan Bangunan yang terlibat dimana bahagian belakang sepanjang diantara (3) hingga (20) Meter adalah sebanyak 70 buah manakala 10 buah lagi bangunan yang berada selepas jambatan Kampung Cina akan diroboh sepenuhnya. Sambungan-sambungan dan Pembinaan Bangunan-Bangunan yang terlibat mungkin pernah mendapat lesen TOL (LMS) pada satu ketika dahulu tetapi mengikut rekod Pejabat Tanah, mulai tahun 1984 Kerajaan telah tidak menyambung TOL dan juga tidak mengutip hasil lagi. TIDAK ada pengambilan tanah Pemilik yang sah dilakukan kami ulang.

Tuduhan oleh pihak-pihak yang tertentu yang mendakwa mereka tidak dipedulikan Y.B. Toh adalah TIDAK BENAR sama sekali kerana pasukan khas kami telah mula bertindak sebelum taklimat Kerajaan Negeri kepada Penghuni-Penghuni Kampung Cina pada 16hb. Februari, 2009 yang lalu.

Mulai 17-2-2009, Y.B. Toh telah mula berunding dengan pihak kontraktor untuk mendapatkan kerjasama mereka agar melaksanakan kerja-kerja dengan gangguan yang minima dan memberi tempoh yang mencukupi kepada Penghuni-Penghuni yang terlibat untuk memindah hartabenda mereka. Mengikut rekod kami, Y.B. Toh sendiri telah melawat tapak, meninjau serta berbincang dengan kontraktor berkenaan tidak kurang daripada (10) kali sehingga 20-4-2009 (beliau telah ke luar negara pada 21-4- 2009 diatas tugas rasmi).

Usaha Y.B. Toh untuk mendapatkan sedikit imbuhan untuk penghuni-penghuni yang terlibat juga berhasil apabila kontraktor bersetuju untuk membayar imbuhan kepada semua yang terlibat dimana amaun itu akan dinilai dengan “case by case basis”.

J.K.K.K. Bandar telah memanggil satu mesyuarat pada awal bulan Mac, 2009 di Dewan Masyarakat Bandar untuk mendengar masalah, pendapat dan permintaan penghuni-penghuni selain daripada berbincang dengan individu-individu dan selepas itu telah mengemukakan surat kepada YAB Menteri Besar Terengganu untuk menyampaikan permintaan mereka.

J.K.K.K. Bandar juga telah mengatur satu perjumpaan penghuni-penghuni dengan kontraktor berkenaan pada 15hb. April, 2009 dimana kontraktor telah berjanji akan mengenalpasti amaun imbuhan yang akan dibayar kepada setiap penghuni dari masa ke semasa dan kontraktor mengatakan walaumana sedikit pun bangunan disentuh, amaun sekurang-kurangnya RM1,000 akan dibayar.

Bagi (10) buah bangunan (selepas jambatan) yang perlu diroboh dengan sepenuhnya itu, satu perjumpaan berasingan diantara JKKK, Penghuni-Penghuni dan Y.B. Toh telah diadakan pada 5hb. April, 2009 dan Y.B. Toh telah menasihatkan mereka bahawa beliau akan cuba sedaya-upaya untuk membantu penghuni-penghuni yang perlu tempat kediaman melalui Kerajaan Negeri samada menyewa atau membeli pada masa yang sama akan meminta imbuhan daripada kontraktor.
Pada keesokan perbincangan diantara Kontraktor, Penghuni-Penghuni dan Y.B. Toh telah diadakan dimana (10) Pemilik dan (15) Penyewa telah hadir. Kontraktor telah berjanji membuat penilaian tentang imbuhan kepada mereka yang terlibat dengan secepat yang mungkin sementara Penghuni-Penghuni dengan bantuan JKKK akan mengemukakan amaun imbuhan yang mereka kehendaki.

(2) hari selepas perjumpaan itu, JKKK Bandar telah mengemukakan senarai permintaan imbuhan bagi pihak penghuni-penghuni kepada kontraktor dan setelah beberapa perundingan JKKK Bandar dengan kontraktor, pada 13-4-2009 kontraktor menawarkan imbuhan seperti berikut :

• Dewan Masyarakat Bandar akan dibayar RM50,000 (untuk masyarakat),

• Bagi Tokong Cina yang menyewa di bangunan No.91, kontraktor bersetuju untuk membiayi segala kos pemindahan dan mendirikan semula, pihak Tokong dikehendaki mencari dan menyewa di premis lain,

• Bagi (8) buah lagi bangunan, kontraktor menawar imbuhan sebanyak RM25,000 kepada setiap pemilek dan RM5,000 untuk setiap penyewa

Pada 14-4-2009, JKKK Bandar memberitahu Penyewa-Penyewa tentang tawaran kontraktor itu dan Penyewa-Penyewa mengatakan mereka perlu tempoh seminggu untuk membuat keputusan lalu pada 20-4-2009, satu lagi perjumpaan diadakan tetapi pada masa itu, ada beberapa Penyewa meminta kontraktor membayar imbuhan RM30,000 bagi setiap Penyewa. Sebaik sahaja tamat perbincangan JKKK Bandar pun memaklum kepada kontraktor dan kontraktor mengatakan, amaun yang diminta adalah terlampau tinggi dan mereka tidak mampu untuk membayar lalu mengatakan jika soal imbuhan dan perpindahan tidak dapat diselesaikan, mereka akan menyerahbalik kerja-kerja rombakan itu kepada Pentadbir Tanah dan imbuhan tidak akan dibayar.

Pada 21-4-2009, beberapa orang pemilik meminta perjumpaan dengan kontraktor dan bersetujuterima imbuhan RM25,000 setiap bangunan seperti yang ditawarkan kontraktor sementara satu lagi perjumpaan dipanggil oleh JKKK Bandar dengan Penyewa-Penyewa pada 22-4-2009 untuk memaklumkan kata-kata kontraktor tetapi hanya beberapa orang Penyewa sahaja yang datang pada hari itu maka masalah (10) buah bangunan tidak dapat diselesaikan dengan sepenuhnya, Oleh sebab tidak mendapat kerjasama yang penuh daripada mereka maka JKKK Bandar membuat keputusan untuk membantu secara “case by case” apabila dihubungi sahaja, bagi Penghuni-Penghuni yang tidak mahu bekerjasama, mereka perlu berbincang terus dengan kontraktor dan menyelesaikan sendiri.
Seterusnya, JKKK Bandar telah berperanan membantu penyelesaian “case by case”.


Pada 28-4-2009, sebahagian Penyewa daripada (10) buah bangunan telah berjumpa dengan kontraktor di Dewan Masyarakat Bandar diatas permintaan mereka sendiri dan En. Toh Say Yong (Penolong Y.B. Toh) terus hadir sebagai pemerhati mewakili Y.B. Toh yang masih berada di luar negara untuk tugasan rasmi dan tidak ada penyelesaian dicapai pada perjumpaan itu.

Pada 20-4-2009, Y.B. Toh telah menerima borong permohonan untuk rumah binaan Kerajaan Terengganu daripada (16) keluarga untuk (8) buah bangunan yang perlu dirobohkan itu dihadapan pemberita akhbar-akbar tempatan di Kampung Cina

Sehingga tarikh ini, 6-5-2009, soal amaun imbuhan dan rombakan telah diselesai dengan sepenuhnya, dimana setiap Penghuni/Pemilek yang mana sebahagian bangunan dirobohkan akan mendapat RM1,000 hingga RM25,000 dan mereka masih boleh menjual bahan-bahan yang akan diroboh itu kerana kontraktor setuju menyerahkan bahan-bahan itu kepada tuanpunya masing-masing.

Bagi tuduhan yang mengatakan Y.B. Toh tidak muncul, tidak peduli, tidak prihatin, itu merupakan satu pembohongan yang besar, lagipun Y.B. Toh TIDAK pernah janji dengan sesiapapun pasti dapat memperolehi rumah binaan Kerajaan kerana Y.B. Toh tidak mempunyai bidang kuasa tunggal dalam soal itu, beliau hanya boleh membantu memohon dengan pihak-pihak berkuasa, bukankah beliau telah menerima borang permohonan daripada (16) keluarga pada 20-4-2009 yang disaksi dan disiarkan oleh akbar tempatan? Mereka harus bersabar dan menunggulah keputusan permohonan mereka nanti.

Tentang Ratusan Ribu Ringgit yang telah dibelanja untuk baikpulih bangunan yang dikatakan setengah Penyewa itu, mereka patut faham bahawa perbelanjaan itu menjadi risiko yang mereka tanggung sendiri kerana adalah sangat jelas, tanah yang diduduki mereka telah kehilangan taraf TOL sejak tahun 1984 lagi, jika mereka tidak berpuashati dengan amaun imbuhan, mereka haruslah berbincang dengan Pemilik masing-masing. Bagi setengah Penyewa, mereka merupakan sub-tenant atau sub-sub-tenant dan juga ada yang menduduki FOC (Free Of Charge), itu juga menjadi isu dan sebab utama mereka enggan menerima imbuhan yang ditawarkan kontraktor dan berpindah.

Akhir kata, Y.B. Toh telah berusaha bertumpus lumus untuk Penghuni-Penghuni Kampung Cina khasnya, untuk mendapatkan keadilan dan manfaat, lebih daripada sesiapapun dan bagi mereka yang rela memaki Y.B. Toh dibuang kerja kerana mereka tidak mendapat sesuatu yang diminta itu, merupakan perbuatan tidak masuk akal kerana kami harus ingat Y.B. Toh dipilih oleh hampir 8,000 pengundi dan bukan dua-tiga orang sahaja.

Bagi mereka yang masih ada masalah tentang projek yang dapat mengindahkan, mewujudkan lebih tempat perniagaan, membina suasana yang sihat dan teratur, mengadakan sistem rawatan najis, mewujudkan lebih tempat letak kereta dan lain-lain lagi di Kampung Cina, mereka boleh berhubung dengan JKKK Bandar atau Y.B. Toh pada bila-bila masa sahaja.