Isnin, 18 Mei 2009

Wanita di Johor disah negatif H1N1

BERNAMA


JOHOR BAHRU: Seorang penumpang wanita penerbangan MH091 yang dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam selepas mengalami demam, disahkan negatif virus Influenza A (H1N1).

Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub berkata wanita itu kini ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenar pulang dalam masa terdekat.

Sebelum ini, wanita itu dikuarantin di rumahnya di sini dengan tiga lagi penumpang pesawat yang sama, iaitu dua lelaki dan seorang wanita sejak Jumaat.

"Tiga lagi penumpang itu akan dikuarantin di rumah sehingga Rabu," katanya.

Malaysia mencatat kes H1N1 pertama apabila seorang penuntut berusia 21 tahun yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH091 dari Newark, New Jersey, ke KLIA melalui Sweden pada 13 Mei didapati dijangkiti virus itu.

Sementara itu, Dr Mohd Khairi berkata dua rakyat asing yang bercuti di sebuah pulau di negeri ini, dikuarantin di hotel penginapan mereka sejak Sabtu.

Setakat ini mereka tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus itu, tetapi jabatan kesihatan akan terus membuat pemerhatian rapi, katanya.

Di KUCHING, dua daripada sembilan penumpang penerbangan MH091 di Sarawak, yang dimasukkan ke Hospital Besar Sarawak di sini, didapati negatif H1N1, kata Menteri Muda Kesihatan Awam dan Perumahan Datuk Dr Soon Choon Teck.

Beliau berkata, kedua-dua penumpang itu, seorang lelaki dan wanita yang berusia dalam lingkungan 20an, didapati bebas daripada virus itu selepas menjalani ujian klinikal.

"Pada masa ini tiada lagi pesakit yang disyaki dijangkiti virus H1NI," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wanita itu dimasukkan ke wad pengasingan hospital berkenaan pada Sabtu dan lelaki berkenaan semalam apabila mereka mengalami demam.

Beliau berkata tujuh lagi penumpang pesawat itu kini dikuarantin di rumah untuk tempoh tujuh hari.

BERITA TERDAHULU

Penumpang wanita penerbangan MH091 dikuarantin selepas demam


JOHOR BAHRU: Seorang penumpang wanita penerbangan MH091 dihantar dan dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah Hospital (HSA) di sini, semalam selepas beliau mengalami demam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Johor Dr Mohd Khairi Yaakob berkata satu ujian klinikal telah dilakukan terhadap wanita itu bagi mengenalpasti sama ada beliau dijangkiti virus influenza A (HIN1).

"Kami masih menunggu keputusan ujian berkenaan," kata beliau, yang enggan mendedahkan maklumat lanjut.

Sebelum ini, wanita itu dikuarantin di rumahnya di sini dengan tiga lagi penumpang, iaitu dua lelaki dan seorang wanita sejak Jumaat.

Malaysia mencatatkan kes H1N1 pertama apabila seorang penuntut berusia 21 tahun yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH091 dari Newark, New Jersey, ke KLIA melalui Sweden pada 13 Mei didapati dijangkiti virus itu. Sementara itu, seorang warga Thailand, yang dikuarantin di HSA Sabtu lalu dibenarkan pulang selepas keputusan ujian yang dilakukan terhadapnya negatif.

Dua warga asing, yang sedang bercuti di sebuah pulau di negeri ini, dikuarantin di hotel penginapan mereka sejak Sabtu lalu.

Dr Mohd Khairi berkata mereka belum lagi menunjukkan sebarang simptom jangkitan virus itu tetapi Jabatan Kesihatan sedang memantau mereka dengan teliti.

Tiada ulasan: