Rabu, 20 Mei 2009

Wanita cedera diragut

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Seorang wanita cedera ringan apabila beg galas miliknya diragut di Kampung Tanjung Che Mat Tauke, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Abduri berkata, ketika kejadian kira- kira pukul 6.30 petang, mangsa yang berusia 25 tahun berjalan bersendirian.

"Sampai di tempat kejadian, tiba-tiba begnya direntap dari belakang oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata, tali beg yang terlepas dari bahu mangsa terkena mukanya menyebabkan wanita berasal dari Mentakab, Pahang itu cedera di bahagian bibir.

Menurutnya, mangsa kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, kira-kira pukul 9 malam.

"Akibat kejadian itu, mangsa kehilangan komputer riba, kamera digital, telefon bimbit dan wang tunai RM1,000," katanya.

Mohd. Fauzi memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan pihaknya kini sedang menjejaki peragut tersebut.

Tiada ulasan: