Khamis, 21 Mei 2009

Uthayakumar diberi amaran keras

Oleh ZULKIFLI JALIL


PUTRAJAYA - Kerajaan tidak akan teragak- agak mengambil tindakan tegas ke atas pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar jika beliau melanggar undang-undang negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, setakat ini tindak-tanduk penasihat undang-undang Hindraf itu hanya berupa ancaman tetapi jika terbukti menjejaskan undang- undang, pihaknya tidak akan berkompromi.

Setakat ini, kata beliau, tiada tindakan akan dikenakan ke atas Uthayakumar berikutan keengganannya bertemu Lembaga Penasihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam.

''Ia bukanlah satu syarat kepada penahanannya (di bawah ISA sebelum ini). Lembaga Penasihat (ISA) memanggil bukan sahaja beliau tetapi sesiapa sahaja (bekas tahanan) untuk melihat tahap pemulihan mereka.

''Jadi, jika dia tidak hadir, ia hanya akan berkisar kepada laporan lembaga. Namun saya mahu ingatkan bahawa kita tidak akan berkompromi jika dia (Uthayakumar) melanggar undang-undang negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kementeriannya akan mengkaji semula semua akta di bawah bidang kuasanya terutama ISA yang antaranya membabitkan kuasa penahanan oleh menteri dan menentukan sama ada sesuatu perhimpunan haram atau sebaliknya.

Ini kerana, kata beliau, perubahan landskap politik hari ini menuntut supaya dikaji semula undang-undang yang suatu ketika digubal untuk keperluan keadaan ketika itu.

''Suasana hari itu dikaitkan dengan darurat, ancaman komunis, konfrantasi dan rusuhan 13 Mei (1969) yang perlu pula dilihat masa kini yang ia bukan lagi berbentuk ancaman.

''Jadi, beberapa perubahan yang perlu dilihat ini merupakan pandangan akar umbi dan bersandarkan rasional," katanya.

Kata beliau: ''Ia bukannya berdasarkan perjuangan sempit pihak tertentu, jangan perjuangan itu nanti menjejaskan hak orang lain pula."

Tiada ulasan: