Jumaat, 15 Mei 2009

UMNO Selangor bakal dirombak

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Jawatankuasa Perhubungan UMNO Selangor diramal berhadapan rombakan kecil menyaksikan muka lama yang memegang beberapa jawatan tertentu akan digugurkan bagi memberi ruang kepada muka baru.

Pengumuman rombakan tersebut dijangka diumumkan pengerusi barunya, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Perhubungan UMNO negeri itu yang dijadualkan esok.

Sinar Harian difahamkan, rombakan tersebut akan melibatkan beberapa jawatan utama bertujuan memantapkan lagi pengaruh parti itu seterusnya mampu merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, UMNO negeri itu sedia menerima apa juga keputusan Najib termasuk sekiranya berlaku sebarang rombakan atau perubahan dalam jawatan.

"Saya enggan ulas kalau ada ramalan itu dan ini sebaliknya kita tunggu pengumuman pengerusi (Najib) dan kami yakin kepimpinan UMNO di negeri ini akan memberi sokongan padu terhadap apa juga keputusan," katanya ketika dihubungi semalam.

Dr Khir yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri berkata, siapa yang bakal dilantik dan pemimpin mana yang bakal digugurkan hanya akan diputuskan Najib dan semua ketua di peringkat bahagian diyakini positif dengan sebarang kemungkinan.

Sebelum ini, Ketua Penerangan, Datuk Abdul Rahman Palil turut menyuarakan reaksi positif terhadap sebarang keputusan yang bakal diumumkan Najib dan juga akan memberi sokongan padu sesiapa sahaja yang dilantik.

Katanya, UMNO Selangor setia memberi sokongan termasuklah bersedia dengan kemungkinan berlaku perubahan dalam jawatan di peringkat UMNO negeri itu.

UMNO Selangor menyaksikan perubahan dari segi kepimpinannya berikutan Najib yang juga Perdana Menteri telah dilantik untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri itu bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Perubahan kepimpinan yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT), April lalu itu dibuat bagi memperkukuhkan lagi UMNO dan BN untuk menghadapi cabaran termasuklah merampas kembali tiga negeri yang kuasai pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan ketika ini.

Berhubung rombakan yang bakal diumumkan Najib esok, Sinar Harian difahamkan kemungkinan beberapa muka baru akan dilantik mengisi jawatan tertentu termasuk Setiausaha dan Bendahari.

Tiada ulasan: