Selasa, 26 Mei 2009

Tutup operasi dalam tempoh dua bulan

SINAR HARIAN ONLINE


BATANG BERJUNTAI –Kerajaan negeri akan mengeluarkan surat kepada semua pemilik rumah kedai di kawasan Bestari Jaya yang menjalankan penternakan burung walit supaya menutup operasi dalam tempoh dua bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, surat penutupan akan diserahkan kepada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan membawa kes ini ke mesyuarat exco Rabu ini untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan, antara punca kes kejadian denggi yang berlaku di kawasan itu disebabkan industri tersebut.

“Kita mendapat aduan bahawa ada satu kematian akibat denggi dan beberapa lagi kes denggi dilaporkan di kawasan Bestari Jaya.

“Saya meninjau ke dalam premis yang menjalankan industri ini dan mendapati ia mengeluarkan gas ammonia dan masalah utama adalah takungan kolam yang dibina dalam keadaan gelap dikhuatiri menjadi pembiakan nyamuk Aedes,” katanya kepada wartawan selepas turun padang meninjau premis rumah kedai di Pekan Batang Berjuntai yang dilaporkan mengalami kes demam denggi di sini, semalam.

Tiada ulasan: