Isnin, 11 Mei 2009

Trak tentera rempuh kedai

Oleh ROHANA MOHD. NAWI


BACHOK – Kemalangan yang ngeri tapi tiada yang maut. Sebuah trak tentera yang membawa seramai 23 pelajar sekolah terbabas selepas bergesel dengan sebuah lori sebelum merempuh dua buah kenderaan.

Kemalangan yang berlaku di Simpang Empat Gunong itu menyebabkan trak tentera itu mengheret sebuah kereta jenis Perodua MyVi dan sebuah motosikal sebelum merempuh bahagian hadapan sebuah kedai runcit.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika trak itu dipandu seorang anggota tentera berusia 22 tahun membawa 23 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunong.

Bagaimanapun, tiada siapa yang cedera dalam kejadian tersebut walaupun kereta MyVi dan motosikal itu `melekat’ di kedai runcit itu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Supritendan Yahya Salleh ketika dihubungi berkata, ketika kejadian, trak berkenaan dalam perjalanan menuju ke Kem 21 Melayu, Pengkalan Chepa selepas mengambil pelajar SMK Gunong yang mengadakan lawatan dan latihan di kem tentera terbabit.

“Sebaik sahaja melepasi persimpangan lampu isyarat, trak itu yang membelok ke kanan bagaimanapun terbabas secara tiba-tiba dan bergesel dengan sebuah lori.

“Kenderaan itu merempuh sebuah kereta MyVi dan sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan sebelum terbabas di sebuah kedai runcit berhampiran,” katanya.

Menurutnya, polis telah mengambil keterangan daripada pemandu trak itu yang tidak mengalami kecederaan.

Kata beliau, siasatan lanjut mengenai punca kemalangan itu juga sedang giat dijalankan.

Sementara itu, enam termasuk seorang guru nyaris maut apabila trak tentera itu merempuh kedai runcit berkenaan.

Guru itu yang juga pemilik MyVi terbabit, Tee Bee Yong, 29, ketika itu sedang makan dalam kedai milik ibunya, Chujah Pit Som, 57, sebelum terdengar satu bunyi dentuman kuat.

Bee Yong yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Janggut dekat Pasir Puteh berkata, ibunya kemudian memberitahu, keretanya yang diletakkan di luar kedai dirempuh sebuah trak tentera yang terbabas.

“Saya kemudian berlari keluar dan mendapati kereta saya dalam keadaan mengiring selepas dilanggar trak tentera terbabit manakala sebuah motosikal turut berada di bawah trak itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam pada itu, seorang peniaga kedai runcit, Lua Ah Beng, 40, berkata, ketika kejadian, dia sedang mengambil barang untuk pelanggannya sebelum terdengar dentuman yang kuat.

Dia kemudian berlari keluar dan mendapati kedainya hampir ranap akibat dilanggar sebuah trak tentera.

“Saya ternampak kereta MyVi milik anak jiran turut dirempuh bersama sebuah motosikal pelanggan saya yang sedang membeli barang,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia dan pemilik kereta terbabit membuat laporan di Balai Polis Gunong.

Sementara itu, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Azizan Md. Denin berkata, kejadian berlaku membabitkan anggotanya dari Kem Desa Pahlawan Kok Lanas yang ketika itu sedang bertugas.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan berlakunya kemalangan itu.

Tiada ulasan: