Selasa, 26 Mei 2009

TPM jumpa Kayveas, Murugiah

Oleh Fazli Abdullah


GEORGETOWN: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan perjumpaan dengan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas dan Datuk T Murugiah, bagi mendapatkan penjelasan mengenai kemelut parti itu, hari ini.

Sambil melahirkan rasa kecewa dengan kemelut yang melanda parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau mahu mendengar penjelasan daripada kedua-dua presiden parti itu.

Beliau kecewa kerana dalam keadaan BN menghadapi masalah yang lebih besar, parti komponen pula berlaku masalah dalaman.

"Biasanya kita tidak mahu campur urusan itu (isu dalaman PPP) tetapi kalau sampai ke tahap yang boleh menjejaskan kewibawaan dan imej BN, kita tidak boleh abai dan diam begitu saja.

"Oleh itu, saya nak tahu penjelasan dan kedudukan sebenar status PPP dan tindakan yang diambil oleh Murugiah dan bagaimana kesannya. Kita nak tahu kedudukan sebenarnya," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di Bangunan Umno di sini, semalam.

Kelmarin, krisis kepemimpinan PPP bertambah runcing apabila parti itu kini mempunyai dua presiden selepas Murugiah yang dipecat dua minggu lalu dilantik sebagai Presiden baru dalam mesyuarat agung luar biasa.

Pada majlis berasingan, Kayveas menegaskan beliau masih Presiden PPP kerana pelantikan Murugiah tidak sah dan menyalahi perlembagaan parti.

Isu PPP yang mempunyai dua presiden itu turut dijadikan modal kempen pembangkang ketika berkempen di pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Penanti, malam kelmarin, bagi memperlecehkan BN.

Muhyiddin berkata, beliau juga akan mendapatkan pandangan daripada pihak lain mengenai kemelut politik dalam PPP dan tindakan yang perlu dilakukan bagi memastikan kedudukan BN tidak terjejas.

"Saya nak dengar pandangan pihak tertentu mengenai keadaan sekarang dan apa yang mereka nak lakukan supaya isu itu tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada BN," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, mogok lapar yang dianjurkan oleh Pakatan Rakyat mulai hari ini adalah bukti pembangkang tidak mempunyai prinsip serta tidak menghormati Perlembagaan dan undang-undang negara.

"Mereka nak bertindak apa sekalipun, sama ada mogok lapar atau apa ke, itu hak mereka. Tetapi saya percaya rakyat dapat menilai kedudukan BN kerana kita berpegang kepada prinsip undang-undang dan Perlembagaan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang bertindak untuk membangkitkan rasa kebencian rakyat kepada kerajaan dengan menganjurkan mogok lapar.

"Semuanya mahu membangkitkan sentimen dan membakar semangat benci (kepada kerajaan) dan saya tidak fikir ini satu perkara yang berfaedah,” katanya.

Tiada ulasan: