Jumaat, 15 Mei 2009

Tidak benar PAS lengahkan penyertaan bukan Islam

Abdul Rahim Sabri
(kemaskini 4.03pm)


PAS tidak melewat-lewatkan penyertaan bukan Islam sebagai ahli seperti didakwa oleh kelab penyokong parti itu kerana satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bulan lalu untuk meneliti lebih serius perkara tersebut.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Mujahid Yusof Rawa memberitahu Malaysiakini hari ini, jawatankuasa teknikal itu bertujuan mengkaji kemungkinan meminda perlembagaan parti bagi membolehkan kelab tersebut dijadikan satu sayap utama parti bertaraf dewan.

"Mesyuarat AJK PAS pusat pada April memutuskan satu jawatankuasa ditubuhkan dengan fokus mengemukakan cadangan teknikal untuk kita menyegerakan keahlian mereka dalam parti," katanya.

Tambahnya, jawatankuasa tersebut yang diketuai oleh bekas timbalan presiden PAS Hassan Shukri dijangka mengambil masa antara tiga hingga enam bulan sebelum rumusan dibawa kepada jawatankuasa pusat parti.

Mujahid, yang juga ahli parlimen Parit Buntar, diminta mengulas pengerusi Kelab Penyokong PAS (KPP) Hu Pang Chow yang menggesa ia disegerakan demi memastikan parti itu terus mendapat sokongan pengundi bukan Melayu, khususnya dalam pilihanraya umum depan.

Jawatankuasa itu disertai kira-kira enam orang pemimpin PAS, termasuk beliau sendiri dan ahli-ahli jawatankuasa pusat parti.

Mengulas lanjut isu-isu teknikal yang dibincangkan oleh jawatankuasa kecil tersebut, Mujahid berkata, ia melibatkan beberapa perkara asas dalam perlembagaan parti itu.

Sambil memberi contoh syarat-syarat keahlian PAS seperti harus seseorang yang Islam, akil baligh dan rakyat Malaysia, beliau berkata:

"Kalau nak bentuk keahlian (kepada bukan Islam), kita perlu pinda (syarat) yang asas."

Turut dibincangkan, tambah Mujahid, kedudukan anggota bukan Islam dari sudut jumlah perwakilan ke muktamar dan keanggotaan mereka dalam jawatankuasa pusat PAS.

"Jawatankuasa (teknikal) akan menyegerakan perkara ini. Apabila kita bersedia dengan cadangan teknikal ini, ia akan dibawa ke (jawatankuasa) PAS Pusat.

"PAS Pusat akan berbincang dengan lebih serius dan Majlis Syura Ulama akan berbincang dari sudut sama ada bertentangan dengan syarak atau tidak.

"Selepas itu, baru kemukakan usul kepada ahli-ahli dalam muktamar khas dan bahas perkara ini," katanya.

Diminta mengulas kenyataan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menangguhkan penyertaan anggota bukan Islam, Mujahid berkata, setakat kefahamannya, mursyidul am PAS tidak bermaksud "untuk KIV" atau diperap tetapi memberikan penjelasan kepada perwakilan-perwakilan di muktamar PAS, awal bulan depan.

Tambahnya, Nik Aziz mungkin bermaksud penangguhan itu hanya buat seketika, sementara menunggu penjelasan dan reaksi perwakilan di muktamar ke-55 di Shah Alam.

Menurut Mujahid lagi, peranan bukan Islam dalam parti itu akan turut diulas dalam ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pembukaan muktamar supaya dibahaskan oleh para perwakilan.

"Salah satu unsur ucapan dasar beliau menyebut hal ini. Saya telah memberi input kepadanya untuk menjelaskan isu ini dengan lebih terang, jelas dan nyata.

"Oleh kerana sokongan bukan Islam terhadap PAS menjadi satu fenomena, apabila disentuh oleh presiden, mungkin akan dibahas," katanya.

Terdapat kira-kira 30,000 ahli bukan Islam dalam kelab tersebut, tambah Mujahid.

Tiada ulasan: