Selasa, 12 Mei 2009

Tiada ada kerajaan efektif di Perak?

Oleh G. MANIMARAN


IPOH: Tidak sampai 24 jam selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan status memihak kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam, krisis politik Perak yang dilihat belum menemui jalan penyelesaian, memasuki bab baru tengah hari tadi.

Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN) berjaya dalam usahanya untuk menagguhkan keputusan semalam sehingga Mahkamah Rayuan mendengar rayuannya kelak.

Zambry dilantik menerajui kerajaan negeri Perak pada 5 Februari lalu menggantikan Nizar dari Pakatan Rakyat.

Ekoran keputusan semalam, Zambry berkata, beliau mengosongkan Pejabat Menteri Besar dan tidak hadir majlis kurnia pingat di Istana Iskandariah pagi tadi sebagai tanda hormat keputusan semalam.

Sambil menegaskan mahu menjalankan tugas Menteri Besar seperti biasa mulai hari ini dan memasuki pejabat pagi esok, Zambry memberitahu, "dalam kes ini bukan saya yang saman Nizar, Nizar yang mempertikaikan status saya."

Beliau memberi gambaran statusnya masih sahih kerana dilantik Sultan.

Sejam selepas sidang media itu, Nizar dan pemimpin Pakatan Rakyat pula mengadakan sidang media di Wisma DAP yang terletak berhampiran dengan bangunan SUK.

Antara lain Nizar memberitahu, perkembangan hari ini "menimbulkan banyak persoalan daripada jawapan."

Ringkasnya kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak ini, "mereka memanjangkan" kes ini dengan merujuk ke Mahkamah Rayuan.

Beliau juga memperkatakan ingin mencari penyelesaian muktamad di peringkat menerusi mandat rakyat.

Tegas beliau, krisis politik negeri ini tidak boleh diselesaikan dengan menggunakan mahkamah semata-mata.

Katanya, parti-parti politik negeri ini perlu kembali kepada rakyat untuk memberikan mandat dengan pembubaran - salah satu yang digerakkan oleh Pakatan.

"Kami mohon menghadap Sultan Perak pagi tadi dan seterusnya akan memohon pembubaran DUN," katanya lagi.

Hari ini Exco Pakatan Rakyat dalam tempoh tiga jam pertama meneliti, mempertimbang dan meluluskan 10 perkara.

Ia termasuklah sesi angkat sumpah melibatkan 14 pihak berkuasa tempatan yang mahu diadakan esok, pelantikan ketua kampung dan menurunkan bayaran parkir dari 40 sen kepada 30 sen sejam.

Ia diumumkan oleh Exco Kanan Pakatan Rakyat, Datuk Seri Ngeh Khoo Ham.

Pun begitu ketika ditemui selepas sidang media Nizar petang tadi, Ngeh berkata, "tiada kerajaan efektif di Perak sekarang."

"Kami mempunyai status yang sah sebagai kerajaan tetapi dihalang (rayuan) daripada dilaksanakan dan mereka (BN) bukan kerajaan sah," katanya.

Ketika ditanya sama ada tiada kerajaan negeri langsung yang efektif, "ya, tiada kerajaan efektif."

Beliau senada dengan Nizar sambil mengatakan bahawa Sultan Perak mempunyai peranan dalam mencari penyelesaian.

"Ini peranan (Tuanku) dalam persekitaran sekarang," katanya.

Terdahulu, Zambry bertegas akan menjalankan tugasnya sebagai Menteri Besar Perak seperti biasa mulai hari ini manakala Nizar yang kembali ke jawatan itu selepas 96 hari 'berehat' mengosongkan pejabatnya petang ini.

Nizar dan barisan Exconya seramai tujuh keluar dari bangunan SUK pukul 2.30 petang sebagai tanda menghormati keputusan Mahkamah Rayuan tengah hari tadi.

"Kami telah mengambil keputusan untuk keluar pukul 2.30 petang tadi dan kami hormati keputusan Mahkamah Rayuan walaupun belum lagi melihat kandungan keputusan lagi.

"Kami tidak mahu nanti ada pihak keluarkan notis minta kami kosongkan pejabat dan tinggalkan bangunan SUK," kata beliau pada sidang media pukul 3.30 petang tadi. Nizar diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai Menteri Besar yang sah.

Selaku Menteri Besar beliau telah mempengerusikan mesyuarat Exco malam tadi yang memutuskan untuk menggantung tugas Penasihat Undang-undang dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Malah pagi tadi beliau mengemukakan permohonan untuk menghadap Pemangku Raja Raja Nazrin Sultan Azlan Shah selain menghadiri majlis istiadat kurnia pangkat selaku Menteri Besar.

Pakatan Rakyat telah memutuskan untuk mengadakan mesyuarat Exconya pagi esok. Tetapi ia telah dibatalkan petang ini.

Pukul 1.20 tengah hari tadi Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan yang membolehkan Zambry kekal sebagai Menteri Besar sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali membenarkan permohonan Zambry bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Ramly juga berkata, mahkamah akan menetapkan tarikh awal untuk mendengar rayuan Zambry.

Kata Ramly, beliau berpuas hati bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu kerana rayuan Zambry akan dianggap sebagai tidak berguna jika penangguhan itu tidak dibenarkan.

BN mengambil alih tampuk kerajaan negeri 6 Februari lalu berada di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Zambry dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang ke-11 pada 5 Februari lalu.

Tiada ulasan: