Sabtu, 16 Mei 2009

Tempoh menunggu rawatan di HKL kini 25 minit

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Purata tempoh menunggu bagi setiap pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan kini hanya 25 minit.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, tempoh menunggu bagi pesakit luar itu lebih cepat daripada yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu 30 minit.

Bagaimanapun katanya, tempoh menunggu itu bergantung kepada situasi tertentu antaranya tempoh masa yang diambil oleh pesakit sebelumnya untuk mendapatkan rawatan doktor.

"Kadang-kala pesakit terpaksa menunggu lama kerana jumlah pesakit yang merujuk ke HKL untuk mendapatkan rawatan semakin bertambah malah kita menghadapi masalah kekurangan doktor.

"Bagaimanapun kami akan memantau dari semasa ke semasa serta mencari penyelesaian bagi memastikan HKL menetapi tempoh menunggu berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mengiringi Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Sirlin yang juga Ketua Puteri UMNO mengadakan lawatan ke wad bersalin HKL sempena Hari Ibu.

Dalam perkembangan lain, Dr. Zaininah berkata, jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan di HKL tahun ini meningkat 20 peratus atau 2,000 pesakit setiap hari berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah itu, HKL telah melanjutkan waktu operasi dari pukul 5 petang hingga 12 tengah malam setiap hari.

"Kami juga telah mengambil doktor kontrak dari luar serta meletakkan doktor pelatih untuk menampung permintaan yang tinggi itu," jelasnya.

Tiada ulasan: