Rabu, 20 Mei 2009

Tagih simpati pegawai Jais

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad


KUALA LUMPUR: Lima anggota pasukan keselamatan terpaksa menagih simpati pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya tidak dikenakan tindakan selepas dicekup bersama pasangan masing-masing di sebuah hotel yang dijadikan sarang maksiat, kelmarin.

Lima anggota itu yang berkhidmat di Lembah Klang, berpakat menginap dan melepaskan gian seks bersama pasangan masing-masing di penginapan digelar `hotel seks ekspres’ itu.

Hotel murah itu menawarkan kemudahan sewa satu hingga dua jam kepada pasangan yang mahu melampiaskan nafsu.

Kumpulan anggota pasukan keselamatan berusia 23 hingga 25 tahun itu ditahan jam 1.30 pagi.

Hasil pemeriksaan, anggota penguat kuasa menemui pelbagai bukti, termasuk kondom yang dipercayai sudah digunakan.

Ketua Unit Tindakan Khas (UTK) Jais, Shahrom Maarop, berkata operasi besar-besaran membabitkan lebih 20 anggota penguat kuasa itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan mengenai kegiatan maksiat di hotel berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati, hotel itu bukan saja menawarkan penginapan harian, malah boleh disewa satu hingga dua jam oleh pasangan yang ingin mengadakan hubungan seks.

“Kita percaya taktik tawaran penginapan satu hingga dua jam ini semakin popular dan mendapat sambutan pasangan bukan mahram yang mahu mengadakan seks ekspres.

“Serbuan dilakukan selepas menerima maklumat lengkap walaupun tidak mendapat kerjasama pihak hotel.

“Apa yang mengejutkan, daripada sembilan lelaki yang ditahan, lima anggota pasukan keselamatan,” katanya.

Ketika ditahan, Shahrom berkata, anggota pasukan keselamatan terbabit cuba merayu kerana bimbang dikenakan tindakan oleh majikan mereka, tetapi tidak dilayan dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, anggota terbabit ditahan dalam keadaan mencurigakan bersama pasangan masing-masing yang juga wanita tempatan dipercayai teman wanita mereka.

“Ada antara mereka sudah berumah tangga, tetapi memberitahu masih bujang.

“Kita percaya mereka menggunakan cuti hujung minggu untuk melepaskan nafsu seks di hotel berkenaan,” katanya.

Shahrom berkata, semua suspek akan dihadapkan di mahkamah syariah mengikut Seksyen 9(1) a dan b, Enakmen Jenayah Syariah Selangor dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi membanteras kegiatan maksiat dan judi dari semasa ke semasa dan sudah mengenal pasti beberapa lokasi popular yang dijadikan pusat operasi kegiatan terbabit.

“Selain hotel mewah, kita akan memberi tumpuan terhadap hotel tertentu yang menawarkan penginapan dalam tempoh singkat,” katanya.

Tiada ulasan: