Khamis, 21 Mei 2009

'Superman' Tee Keat buat laporan polis

MALAYSIA KINI


Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat membuat laporan terhadap sebuah majalah politik mingguan berbahasa Cina atas dakwaan memfitnah.

Dalam satu kenyataan media, majalah tersebut mendedahkan Ong telah membuat laporan tersebut di balai polis Kelana Jaya pada 4 Mei.

Ong membuat laporan itu terhadap tiga artikel yang disiarkan dalam isu ke-417 majalah berkenaan pada 2 Mac lalu, yang menganalisa hubungan Ong dengan timbalannya, Datuk Chua Soi Lek; krisis politik di Perak dan ADUN DAP yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas, Hee Yit Foong.

Menteri pengangkutan itu meminta pihak polis supaya menyiasat majalah tersebut mengikut Seksyen 8(A) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak dan seksyen 500 Kanun Keseksaan, berhubung dengan jenayah fitnah.

Berikutan itu, polis telah memanggil editor majalah berkenaan, Joseph Xeow selama tiga jam pada 8 Mei lalu.

"Polis telah meminta identiti penulis-penulis (artikel berkenaan), tetapi editor tersebut enggan mendedah siapa mereka," kata majalah itu.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis dapat mengenal pasti penulis terbabit dan telah memanggil mereka mengikut Seksyen 111(2) Kanun Keseksaan.

"Dua penulis tersebut berpendapat bahawa komentari mereka berasaskan kepada fakta dan tiada apa yang hendak disembunyikan, oleh itu mereka memberi kerjasama kepada pihak polis dan merakamkan kenyataan mereka selama empat jam," katanya.

Majalah tersebut milik Life Publishers Bhd - anak syarikat Media Chinese International Ltd milik jutaan media tempatan Datuk Seri Tiong Hiew King.

Life Publishers Bhd sebelum ini di bawah Nanyang Press Holdings Bhd, yang dikuasai oleh MCA melalui syarikat pelaburannya.

Bagaimanapun, ia kemudiannya dijual kepada Tiong dan digabungkan dengan Sin Chew Media Corp Bhd dan Ming Pao Newspapers Ltd - milik Tong - untuk menjadi Media Chinese International Ltd in 2007.

Tiada ulasan: