Rabu, 13 Mei 2009

Sultan Selangor dibenarkan keluar hospital

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) yang dirawat di Standford University Medical Centre, California, Amerika Syarikat (AS) selepas menjalani pembedahan injap jantung pada 3 Mei lalu, dibenarkan keluar dari hospital itu semalam.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda dibenarkan keluar selepas pusat perubatan tersebut berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.

Menurutnya, baginda bagaimanapun masih perlu menjalani beberapa rawatan susulan di hospital itu dan sementara menunggu tarikh rawatan, baginda kini menginap di sebuah hotel di Palo Alto, California.

''Tuanku kini bertambah pulih dan hanya menunggu untuk menjalani beberapa sesi rawatan susulan.

"Baginda dijangka pulang ke tanah air dua minggu lagi, bergantung pada tahap kesihatan dan keputusan doktor pakar yang merawat baginda," kata beliau ketika dihubungi di sini petang ini.

Sementara itu, Pakar Perubatan Peribadi Sultan Selangor merangkap Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Dr. Anuar Masduki berkata, walaupun Sultan Selangor masih belum sembuh sepenuhnya tetapi baginda telah boleh bergerak seperti biasa.

Beliau berkata, sebelum pulang ke Malaysia, baginda akan menjalani pemulihan kardium di bawah pengawasan pengarah pusat perubatan tersebut, Nancy Houston Miller.

"Ia diikuti susulan rundingan perubatan daripada pakar bedah Tuanku, Dr. Craig Miller," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 29 April lalu, Sultan Sharafuddin berlepas ke California untuk menjalani pembedahan injap jantung.

Pada 3 Mei, Sultan Sharafuddin Idris Shah berjaya menjalani pembedahan injap jantung selama lapan jam di pusat perubatan berkenaan.

Pembedahan itu dijalankan oleh dua doktor di pusat perubatan berkenaan iaitu pakar kardiologi Prof. Dr. Alan Yeung dan pakar mitral valve Dr. Miller.

Selepas pembedahan, baginda telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan lanjut dan dimasukkan ke wad biasa dua hari kemudian.

Tiada ulasan: