Khamis, 14 Mei 2009

SPRM siasat dakwaan rasuah politik Murugiah

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memulakan siasatan terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah berhubung dakwaan rasuah politik menjelang pemilihan Parti Progresif Penduduk (PPP), Jun ini.

Pesuruhjaya Siasatannya, Datuk Shukri Abdull, berkata setakat ini, pihaknya masih pada peringkat awal siasatan selepas kertas siasatan dibuka baru-baru ini.

“SPRM mengambil tindakan proaktif dengan memulakan siasatan sebaik laporan berita mengenai dakwaan rasuah politik itu disiarkan media minggu lalu.

“Tindakan pantas diambil SPRM kerana pemilihan parti itu dijangka Jun ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, Majlis Tertinggi PPP sebulat suara meluluskan usul memecat Murugiah daripada parti itu kerana terbabit dalam amalan rasuah.

Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, pemecatan Murugiah yang juga Ahli Majlis Tertinggi PPP berkuat kuasa selepas pemilihan parti itu, 7 Jun ini.

Keputusan memecat Murugiah dibuat 42 daripada 45 Ahli Majlis Tertinggi parti itu tanpa kehadiran Timbalan Menteri berkenaan.

Shukri berkata, pihaknya akan memastikan siasatan kes berkenaan meliputi pelbagai sudut bagi memastikan sebarang persoalan timbul mendapat penjelasan bagi melengkapkan siasatan.

“Kita akan kendalikan siasatan kes ini seperti kes lain dengan penuh bertanggungjawab dan telus untuk menjamin keadilan kepada semua pihak terbabit,” katanya.

Sementara itu, polis sudah mengambil keterangan empat individu berhubung laporan penemuan bungkusan berisi kelongsong peluru dan nota ugutan diterima Murugiah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata keterangan mereka penting bagi membantu siasatan, tetapi enggan mendedahkan sama ada keterangan Kayveas diambil.

“Tak perlulah saya sebut nama mereka yang dipanggil memberi keterangan.

“Polis sedang menyiasat kes ini dari pelbagai sudut dan kita akan umumkan hasilnya apabila siasatan selesai,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.

Tiada ulasan: