Rabu, 27 Mei 2009

Sokong sekolah agama rakyat, persendirian Cina dikecuali yuran SPM

UTUSAN ONLINE


PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyokong cadangan pertubuhan-pertubuhan Cina supaya yuran peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dikecualikan bagi sekolah-sekolah persendirian Cina.

Bagaimanapun, beliau mahu pengecualian itu turut melibatkan sekolah-sekolah persendirian jenis kebangsaan lain serta Sekolah Agama Rakyat bagi mengurangkan beban pelajar sekolah-sekolah tersebut.

‘‘Keputusan pengecualian itu tertakluk kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan supaya dapat dikurangkan beban pelajar sekolah-sekolah persendirian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil tujuh pertubuhan Cina di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Muhyiddin turut menimbangkan lima perkara lain yang dicadangkan oleh pertubuhan itu tetapi menolak dua lagi cadangan yang dikemukakan.

Dua cadangan yang ditolak itu ialah mengenai pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina dan bantuan kepada sekolah persendirian jenis itu.

‘‘Pengiktirafan kepada sijil itu kita tidak boleh lakukan kerana selagi mereka tidak mematuhi dasar pelajaran serta tidak mengikuti kokurikulum yang ditetapkan oleh kementerian, selagi itu ia tidak akan diiktiraf berdasarkan standard piawaian yang ditetapkan.

‘‘Bantuan kepada sekolah persendirian juga tidak diberikan kerana mereka mahu ‘merdeka’. Jika mereka mahu bantuan, mereka perlu mematuhi dasar selaras dengan polisi kita,” katanya.

Menurut Muhyiddin, lima cadangan yang bakal dipertimbangkan pula melibatkan pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), bantuan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), kekurangan tenaga pengajar sekolah jenis itu dan surat cara menetapkan kuasa pengelolaan lembaga pengelola SJKC.

‘‘Kerajaan sudah memberikan kelulusan peruntukan untuk dibangunkan 14 buah sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka dan Sarawak manakala pembinaan baru enam buah sekolah lain.

‘‘Saya beritahu kepada mereka supaya mencari tapak yang sesuai untuk pembinaan sekolah-sekolah ini yang merupakan tanggungjawab mereka berbuat demikian,” katanya.

Menurut Muhyiddin, kekurangan hampir 3,000 tenaga pengajar sekolah jenis itu akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

‘‘Mengenai urusan untuk mengeluarkan surat cara menetapkan kuasa pengelolaan lembaga pengelola SJKC, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong akan diberi tanggungjawab menyelesaikan urusan itu,” katanya.

Tiada ulasan: