Ahad, 17 Mei 2009

Segalanya 2 di Perak, 1 halal dan 1 haram - Sivakumar

Lanjusoh | Rizal Tahir


KOTA BHARU - Aneh lagi luar biasa. Mungkin juga boleh menjadi tarikan pelancong. Ini kerana segalanya ada dua di Perak sekarang. Bermula dua kerajaan, dua Menteri Besar dan dua Speaker.

Selain itu ada dua setiausaha kerajaan negeri dan dua setiausaha Dewan Undangan Negeri (Dun). Namun harus diingatkan satu daripadanya haram dan satu lagi halal.

Speaker Dun Perak, V Sivakumar berkata, semua perkara yang tidak berlaku di negara-negara lain ada di Perak sekarang.

"Ketika saya masih lagi speaker yang sah, Adun Barisan Nasional melantik pula speaker baru. Speaker tersebut diibaratkan duri dalam daging.

"Apa yang lebih menggelirukan lagi apabila setiausaha kerajaan negeri pula cuba bertindak bagi pihak speaker dengan melarang media yang tidak pro Umno membuat liputan pada persidangan Dun 7 Mei lalu.

"Sedangkan kuasa bagi menentukan seseorang boleh atau tidak masuk dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker," katanya pada ceramah menjelaskan isu terbaru di Perak di Putik malam tadi.

Ceramah itu mempertemukan dua Speaker iaitu Sivakumar dan Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nusuruddin Daud di satu pentas. Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurutnya apa yang berlaku pada 7 Mei lalu adalah satu penghinaan terhadapnya kerana yang menentukan segala urusan dalam dewan negeri adalah di bawah bidang kuasa Speaker.

Begitu juga katanya bagi menentukan kedudukan ahli Dewan sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang ditentukan speaker.

Katanya pada peringkat awal persidangan 7 Mei lalu beliau mengarah Penasihat Undang-Undang Negeri supaya duduk di bahagian kerajaan (kanan).

"Namun selepas dua kali diarah pindah pegawai terbabit tidak mengendahkan menyebabkan saya menyebut kepadanya kalau tidak mahu ikut speaker boleh keluar dewan.

"Saya dari awal lagi sudah menjangka satu konspirasi dilakukan kerana ada pakatan di kalangan pegawai kerajaan dan Adun BN supaya tidak mengikut arahan Speaker," katanya.

Menurutnya beliau juga mengarahkan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota Exconya yang dilantik serta tiga wakil rakyat Bebas keluar dewan bagi membolehkan persidangan dimulakan.

Bagaimanapun katanya, keputusan beliau sebagai Speaker tidak diendahkan sehingga Timbalan Speaker, Hee Yit Foong cuba mengambil alih tugasnya.

"Saya hairan dia menggunakan kuasa mana mengambil alih tugas Speaker. Sedangkan mengikut Perintah Tetap Dewan selagi Speaker ada di kerusinya timbalan speaker tidak ada kuasa," katanya.

Beliau juga berkata, Umno gagal menggugurnya sebagai speaker memandangkan beliau tetap mempertahankan kerusi sejak bermula persidangan jam 8.45 pagi hingga 2 petang tanpa keluar minum atau ke bilik air.

Bagaimanapun tambahnya, Umno menggunakan kekerasan dengan bantuan anggota polis mengusungnya keluar dan mengurung dalam bilik pegawal selama lebih sejam.

Oleh itu katanya, perjumpaan anggota dewan hari itu tidak boleh dikatakan sebagai persidangan biasa kerana ia tidak menepati peraturan dewan.

Nusuruddin pula mencadangkan kerusi Speaker di Perak menggunakan tali pinggang keledar pada masa akan datang bagi mengelakkan ada lagi orang yang mengusung keluar Speaker.

Beliau juga berkata, Perkara 4 Peraturan Tetap Dewan menyebut Speaker berkuasa penuh bagi menentukan perjalanan mesyuarat anggota dewan.

Katanya, jawatan seseorang speaker hanya boleh gugur apabila dia berhenti secara sukarela atau meletak jawatan sebagai Adun.

Selain itu apabila bermula persidangan penggal baru selepas pilihan raya dan speaker juga boleh dijatuhkan melalui usul tidak percaya. - mj _

Tiada ulasan: