Isnin, 18 Mei 2009

Sasaran anggota Rela 2.5 juta

BERITA HARIAN ONLINE


KLUANG: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mensasarkan untuk meningkatkan jumlah keanggotaan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) daripada lebih 500,000 anggota ketika ini kepada 2.5 juta dalam tempoh tiga tahun lagi, dengan memberi tumpuan kepada usaha menarik penyertaan belia dan pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penambahan keanggotaan dari pelbagai kaum itu bukan saja memperkukuhkan Rela, malah mewujudkan gelombang semangat sukarelawan di kalangan rakyat pelbagai kaum bagi menjayakan konsep 1Malaysia.

Beliau berkata, langkah pembesaran itu yang disasarkan menjelang akhir 2012 diharap dapat mencapai matlamat menjadikan Rela sebagai sebuah pasukan sukarela yang unggul dan bertaraf antarabangsa.

“Ketika ini jumlah anggota Rela di seluruh negara ialah 556,286 dan ia akan ditambah lima kali ganda menjadikannya 2.5 juta anggota dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Dalam keadaan wujud pelbagai isu berunsurkan politik, agama dan kaum ketika ini, maka kita rasakan perlunya satu jambatan bagi menghubungkan kaum iaitu melalui pengukuhan Rela,” katanya pada majlis Menteri Dalam Negeri Bersama Rakyat, anjuran Rela di Padang Taman Sri Lambak, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop; Ketua Setiausaha KDN, Datuk Mahmood Adam dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Zaidon Asmuni.

Beliau berkata, berdasarkan statistik ketika ini, 62.5 peratus atau 346,352 anggota Rela adalah Bumiputera khususnya Melayu, 15.3 peratus atau 84,849 Cina dan hanya 4.7 atau 25,899 peratus India. Daripada jumlah itu, 492,917 adalah anggota lelaki manakala 63,369 lagi anggota wanita.

“Kita berusaha menarik penyertaan kaum Cina dan India bagi mengimbangi jumlah anggota yang ada dari kalangan tiga kaum utama ini,” katanya.

Katanya, peranan dan tanggungjawab agensi KDN termasuk Rela kini semakin mencabar sehingga perlu diperkukuhkan lagi.

“Jika disesuaikan dengan cita rasa anak muda menerusi pendekatan yang realistik dan pragmatik ini dapat mewujudkan satu gerakan positif kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas desakan Majlis Peguam supaya beliau dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan, Hishammuddin berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana isu yang boleh menjejaskan keharmonian negara.

"Berdasarkan kepada Perlembagaan Negara, tiada sesiapa yang boleh meletakkan diri mereka melebihi undang-undang termasuk peguam, Ketua Polis Negara mahupun Menteri Dalam Negeri. Saman menyaman juga perkara biasa bagi saya sejak di Kementerian Pelajaran dan itu asam garam dalam memegang amanah," katanya.

Kelmarin, Majlis Peguam mendesak Hishammuddin, Musa dan Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid meletak jawatan atas dakwaan menahan lima peguam dari Biro Bantuan Guaman secara rambang, 7 Mei lalu.

Mengenai aktiviti penyeludupan pendatang asing tanpa izin di perairan Pengerang, dekat Kota Tinggi sehingga menyebabkan beberapa kejadian bot karam dan kematian, Hishammuddin berkata, perkara itu menjadi keutamaan dalam indeks petunjuk prestasi (KPI) kementeriannya bagi membendung kegiatan itu.

Tiada ulasan: