Selasa, 19 Mei 2009

Rundingan kemelut politik Perak dibuat hanya selepas proses mahkamah selesai

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, sebarang rundingan dengan pembangkang bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak hanya akan dilakukan selepas proses mahkamah selesai.

Perdana Menteri berkata, semua pihak harus menghormati undang-undang dan tidak mendahului proses mahkamah dalam menyelesaikan masalah berkenaan.

“Isu Perak masih dalam proses mahkamah, oleh itu kita seharusnya menghormati dan mendengar keputusan mahkamah berhubung perkara itu.

“Kalau kita hendak berunding dengan pembangkang, kita mesti tentukan kedudukan (semua pihak) di sisi undang-undang, barulah kita boleh berunding,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) selama lebih dua jam di Menara Datuk Onn di sini, semalam.

Najib berkata demikian ketika ditanya wartawan, bilakah rundingan antara BN dan Pakatan Rakyat akan dimulakan.

Sebelum ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata Pakatan Rakyat bersedia bekerjasama dengan BN bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Berhubung sama ada BN akan melakukan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang, Najib berkata, ia terpulang kepada BN Perak.

“Kerajaan Perak akan putuskan sama ada isu itu (undi tidak percaya) dan mereka juga akan berbincang dengan Sultan Perak bagi memanggil sidang tergempar untuk undi tidak percaya itu,” katanya.

Berhubung isu membabitkan Parti Progresif Penduduk (PPP), Perdana Menteri berkata, ia tidak dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN kerana ia masalah dalaman parti itu.

Sementara itu, Najib menafikan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) menggunakan wang dana jamin dalam rancangannya untuk menambah pelaburan berjumlah RM5 bilion dari pasaran saham minggu ini.

“Ia bukan wang tetapi jaminan kerajaan pusat. Menerusi kerjasama pintar antara kerajaan Pusat dan Terengganu, kerajaan mem-benarkan suntikan tambahan RM5 bilion untuk dilaburkan.

“Bukan saja di Terengganu, tetapi di seluruh negara. Ia akan memacu ekonomi negara dan membantu menarik pelaburan langsung asing berjumlah RM11 bilion.

“Kerajaan Pusat akan mendapat manfaat sehingga 10 peratus daripada keuntungan dari setiap negeri menerusi kerjasama pintar ini. Ia adalah keputusan pintar menerusi kerjasama dengan Terengganu” katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif TIA, Shahrol Halmi berkata, TIA bercadang meningkatkan pelaburannya sebanyak RM5 bilion.

Katanya, agensi itu sudah mengenal pasti beberapa kerjasama strategik segera dan menerusi rancangan itu TIA akan mewujudkan pasukan dengan `dana kekayaan’ dalam projek pelancongan, tenaga dan sektor pertanian.

Perbadanan Menteri Besar Terengganu (MB Inc) memiliki pegangan 100 peratus saham biasa TIA dengan Perbadanan Menteri Kewangan (MOF Inc) memiliki satu saham utama dan saham utama berasingan dalam TIA dikeluarkan oleh Yayasan TIA.

Tiada ulasan: