Selasa, 19 Mei 2009

Pusat media H1N1 bakal ditubuhkan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Pusat media influenza A (H1N1) akan dibuka dalam masa terdekat bagi membolehkan petugas media yang membuat liputan berhubung penularan wabak berkenaan mendapat maklumat tepat dan cepat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Rashid Sirlin berkata, penubuhan pusat media itu juga bertujuan membolehkan wartawan membuat laporan dalam keadaan selesa tanpa perlu menunggu di kaki lima hospital.

"Buat masa ini kementerian memang telah menyediakan laporan harian berhubung perkembangan terkini wabak H1N1 tetapi jika media merasakan perlu satu pusat media, kami tiada masalah untuk mewujudkannya," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas keluhan yang disiarkan dalam kolum Awang Selamat mengenai peranan media dalam Pusat Kesiapsiagaan Krisis dan Bertindak Cepat (CPRC) Kebangsaan.

Awang Selamat dalam tulisannya hari ini menyentuh tentang pihak media yang hanya dipanggil untuk sidang akhbar dan media tidak dilibatkan sama dalam CPRC yang ditubuhkan sejak wabak influenza A dikesan di negara ini.

Malah, keluh Awang Selamat lagi, wartawan yang membuat liputan perkembangan H1N1 di hospital hanya dibenarkan duduk di kaki-kaki lima hospital bagi mendapatkan berita.

Rosnah berkata, walaupun sehingga kini pusat media belum diwujudkan, Kementerian Kesihatan telah menyediakan semua laporan terkini dan pihaknya tidak mengabaikan media.

Katanya, melalui pusat media nanti, wartawan yang bertugas bakal diberi taklimat secara terperinci mengenai wabak H1N1.

Rosnah turut ditanya sama ada kementeriannya akan membenarkan media berperanan lebih luas dalam CPRC.

Beliau berkata, pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan segera berhubung perkara itu selagi belum dibawa untuk pertimbangan kerajaan.

"Peranan lebih luas itu perlu kelulusan daripada kerajaan dan saya tidak boleh menyatakannya sekarang.

"Saya faham tugas media tetapi saya sendiri selaku timbalan menteri pun perlu menunggu untuk mendapatkan perkembangan terkini bagi memastikan semua laporan adalah tepat," jelasnya.

Menurut beliau, jika terdapat sebarang perkembangan terbaru pihaknya memberi jaminan akan segera memaklumkan kepada media bagi membolehkan masyarakat mengetahui status terkini penularan wabak itu.

Tiada ulasan: