Jumaat, 22 Mei 2009

PR jawab isu tiada calon BN di DUN Penanti

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti yang dijadualkan 31 Mei ini, mendapat pelbagai reaksi daripada ahli Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Teng Chang Khim, bersetuju dengan keputusan berkenaan dan itu menunjukkan bahawa Barisan Nasional (BN) sedia maklum bahawa pengundi di sana tidak akan memberi sokongan kepada mereka.

Menurutnya, BN berhadapan dengan cabaran yang besar dan sekiranya mereka masih berdegil untuk meletakkan calon di sana, calon berkenaan akan ditolak.

“Rakyat di negeri yang diperintah PR berpuas hati dengan prestasi parti gabungan berbanding BN, kerana banyak menjalankan projek pembangu-nan jangka masa panjang untuk kebaikan rakyat.

“Saya berasa lega kerana BN memahami sentimen rakyat dan berharap mereka turut mengambil kira sentimen akar umbi di Perak seterusnya mengambil langkah untuk membubarkan DUN Perak dan mengembalikan hak kepada rakyat dalam menentukan kepimpinan di Perak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, ADUN Batu Caves, Amirudin Shari menyifatkan keputusan yang diumumkan Najib sebagai pilihan daripada BN, bahkan perkara ini membuktikan bahawa BN tidak bersedia untuk menghadapi pili-han raya.

“Slogan ‘Rakyat didahulukan’ hanyalah satu retorik dan dilihat tidak tepat dengan keputusan BN kerana mereka tidak sanggup berhadapan dengan pilihan raya serta enggan mengembalikan kuasa kepada rakyat.

“Sebagai salah seorang ahli jawatankuasa dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PR, saya ingin mengingatkan kepada ahli pakatan agar sentiasa bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Memang Najib mengumumkan untuk tidak bertanding tetapi tidak pasti apa yang akan berlaku pada hari penamaan calon, sama ada mereka akan mengubah keputusan atau sebaliknya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad berkata, Najib atau BN tidak boleh mengelak tanggapan rakyat kerana hakikatnya mereka takut menghadapi pilihan raya sebab tidak akan menang.

Menurutnya, terdapat tiga perkara yang disebutkan Najib iaitu mengenai pembaziran wang rakyat, isu berkenaan sebagai cara untuk selesaikan masalah dalaman PKR, dan tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan bahawa pilihan raya kecil satu keperluan.

“Sekiranya benar penarikan ahli BN daripada bertanding dalam pili-han raya kecil di DUN Penanti dapat mengelakkan pembaziran wang rakyat, ia jelas tidak munasabah kerana pakatan akan tetap bertanding dengan calon bebas.

“Apabila berlaku pilihan raya kecil, dana rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan tetap terlibat.

“Justeru, apakah pembaziran akan dapat dielakkan dan jawapannya tidak kerana SPR tetap perlu membelanjakan sejumlah wang untuk mengadakan pilihan raya kecil. Melainkan dia (Najib) mengaitkan dengan pembazi-ran wang UMNO,” katanya.

Menurut beliau, apabila Najib menyentuh mengenai cara untuk menyelesaikan masalah dalaman PKR, jawapannya adalah rakyat tidak mudah lupa dengan apa yang berlaku dalam BN suatu ketika dahulu.

“Pada tahun 1997, pilihan raya kecil juga pernah diadakan bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Abu Hassan Omar (sebagai Ahli Parlimen Kuala Selangor ketika itu) bertanding di DUN bagi membolehkan beliau dilantik menjadi MB Selangor, sebelum Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

“UMNO menunjukkan bahawa perkara itu munasabah untuk dilakukan.

“Manakala mengenai tiada keperluan dalam Perlembagaan untuk mengadakan pilihan raya kecil, hakikatnya perhitungan dalam perlembagaan tidak diguna pakai oleh orang politik,” katanya.

Tiada ulasan: