Ahad, 10 Mei 2009

PPP tidak akan pecat Murugiah tergesa-gesa

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) tidak akan tergesa-gesa memecat keanggotaan Datuk T. Murugiah dalam Majlis Tertinggi (MT) parti itu walaupun terdapat desakan untuk memecatnya ekoran tindakan beliau yang dikatakan sering membelakangkan parti.

Presiden PPP Datuk M. Kayveas berkata cadangan memecat keanggotaan Murugiah dibuat oleh majoriti daripada 25 anggota MT yang bermesyuarat semalam yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap tindakannya yang sering tidak menghadiri mesyuarat parti selain beberapa keputusannya memberikan imej buruk terhadap parti.

"Walaupun majoriti anggota MT mahukan beliau dipecat tetapi setakat ini saya berpendirian tindakan tersebut masih boleh dielakkan kerana tidak mahu dilabel sebagai mengambil kesempatan untuk kepentingan politik sendiri," katanya. Kayveas berkata walaupun tindakan yang dilakukan Murugiah kebelakangan ini dilihat membelakangkan parti, namun tindakan tersebut tidak boleh diambil sehingga berakhirnya mesyuarat agung parti itu Jun ini.

"Jika nak pecat memang kita sudah punyai cukup bukti. Beliau (Murugiah) dakwa saya cuba untuk pecat dia dan saya berpeluang menjadi menteri. Itu tidak benar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi itu di sini.

Berhubung kenyataan Murugiah yang beliau tidak akan bertanding mencabar jawatan Presiden pada pemilihan Jun ini kerana masih muda dan menghormati Kayveas sebagai calon yang paling layak, beliau berkata ia hanyalah lakonan.

Kayveas berkata Murugiah sememangnya tidak layak untuk bertanding berikutan cawangan N.12 Silibin Drive, Perak tempat beliau berdaftar telah dibatalkan pendaftarannya.

"Sebenarnya cawangan tersebut telah dibatalkan pendaftarannya sejak tiga tahun yang lalu (21.8.2006) dan perkara itu hanya diketahuinya semasa menyerahkan borang laporan untuk memperbaharui rekod tengah hari semalam (Jumaat).

"Bila dapat tahu cawangan tersebut terbatal barulah dia keluarkan kenyataan yang tidak akan bertanding jawatan presiden. Dia tahu tidak boleh bertanding tetapi kerana nak popular dia katakan tidak mahu mencabar saya kerana hormat," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Malaysia (PPRM) P. Gunaseelan dalam satu kenyataan menggesa Kayveas dan Murugiah duduk berbincang bagi menyelesaikan sebarang selisih faham antara mereka dan berusaha demi kebaikan masyarakat dan negara.

Tiada ulasan: