Selasa, 19 Mei 2009

PPP tak perlu pengkhianat dalam parti

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) tidak perlukan pengkhianat dalam parti kerana kehadiran kumpulan yang mementingkan diri itu boleh menjejaskan imej dan usaha untuk mengukuhkan kedudukan PPP dalam Barisan Nasional (BN), kata Presiden parti itu, Datuk M Kayveas.

Beliau berkata, pemecatan tujuh ahlinya termasuk bekas Ketua Pemuda PPP, Datuk T Murugiah adalah tindakan tepat kerana mereka melanggar perlembagaan parti, selain cuba bersekongkol merangka strategi membatalkan parti yang banyak berjasa kepada mereka.

“Kenapa hanya selepas dipecat mereka mahu ungkit hal berkaitan parti, tetapi mereka lupa tanpa PPP mereka tentunya tidak akan dapat memegang jawatan sebagai ahli majlis kerajaan tempatan, dilantik sebagai Senator atau timbalan menteri.

“Kumpulan ini tidak terhutang budi langsung kepada parti, sebaliknya hanya mementing diri hingga sanggup memburukkan parti. Jadi, tidak salah rasanya untuk memecat ahli sedemikian kerana tentunya mana-mana parti sekali pun akan melaku-kan tindakan sama terhadap pengkhianat,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Minggu lalu, Lembaga Disiplin PPP memecat tujuh ahlinya, termasuk Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Kumpulan yang dipecat itu juga mendakwa wujud penyelewengan dalam pengurusan akaun parti berkenaan dan ia dianggap bergerak secara haram apabila tidak mengemukakan penyata tahunan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) sejak 2002.

Kayveas berkata, berdasarkan perlembagaan parti juga, kepemimpinan tertinggi PPP tetap memberi peluang kepada tujuh ahlinya yang dipecat itu mengemukakan rayuan dalam masa 14 hari.

“Walaupun dua daripada tujuh yang dipecat itu mengumumkan tidak akan mengemukakan rayuan, tetapi kami akan pastikan rayuan lima yang lain jika ada didengar dan dipertimbangkan pada peringkat dalaman parti,” katanya.

Mengenai tindakan ahli yang dipecat untuk membuat laporan kepada ROS supaya menyiasat akaun parti berkenaan, Kayveas berkata, pihaknya sedia berdepan dengan ROS berhubung dakwaan berkaitan akaun PPP.

“PPP ini tidak ada banyak duit dalam akaun, kami juga tidak ada saham atau harta yang boleh menyebabkan kami cuba mengelak cukai, malah tidak memperoleh keuntungan daripada sebarang perniagaan pun,” katanya.

Tiada ulasan: