Ahad, 10 Mei 2009

PPP pecat Murugiah dakwaan politik wang

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) semalam sebulat suara meluluskan usul memecat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah daripada parti itu kerana didakwa terbabit dengan politik wang.

Presiden PPP, Datuk M Kayveas yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata pemecatan Murugiah yang juga Ahli Majlis Tertinggi PPP akan berkuat kuasa selepas pemilihan parti itu pada 7 Jun depan.

Keputusan memecat Murugiah dibuat 42 daripada 45 ahli Majlis Tertinggi PPP tanpa kehadirannya.

Kayveas berkata, tindakan tegas terpaksa diambil ke atas beliau kerana didakwa mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa ketua bahagian parti dan mendesak mereka mencabar kedudukan Presiden PPP pada pemilihan bulan depan.

“Saya tahu beliau (Murugiah) adakan pertemuan secara rahsia dengan pemimpin PPP peringkat bahagian untuk mencabar saya. Kita juga sudah menggantung dua ahli parti ‘orang’ Murugiah kerana politik wang.

“Kita mendapat tahu seorang daripada individu berkenaan meminta nombor akaun ahli kerana ingin memasukkan wang untuk tujuan tertentu. Kita jangka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara ini minggu depan.

“Selain itu, Murugiah juga tidak menghadiri beberapa mesyuarat tertinggi parti untuk tempoh masa yang panjang,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pemilihan PPP bulan depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) membabitkan jawatan presiden, naib presiden dan 25 jawatan ahli Majlis Tertinggi parti akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Kayveas berkata, Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah membatalkan pendaftaran cawangan PPP Silibin, Perak sejak Ogos 2006, yang mana Murugiah menjadi ketua cawangannya.

“Cawangan berkenaan tidak menghantar sebarang laporan kepada ROS berhubung aktivitinya dan selepas tiga tahun dibatalkan, baru kelmarin Murugiah mengemukakan surat kepada Setiausaha Agung parti untuk memperbaharuinya,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Murugiah dalam kerajaan, Kayveas berkata, jawatan beliau dalam kerajaan akan diserahkan kepada pemimpin PPP yang lain.

Murugiah gagal dihubungi bagi mendapatkan ulasannya mengenai tindakan memecatnya.

Tiada ulasan: