Ahad, 3 Mei 2009

Polis nafi laporan kononnya ADUN Kuala Kurau diserang

BERNAMA


IPOH: Polis hari ini menafikan laporan beberapa laman blog yang mendakwa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Abdul Yunus Jamhari diserang sekumpulan lelaki berdekatan pejabat Pusat Khidmat DUN Kuala Kurau malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Mat Fauzi Nayan berkata, mangsa serangan sebenarnya adalah pembantu khas kepada ADUN berkenaan yang hanya mengalami kecederaan kecil di tangan akibat terkena pisau ketika mempertahankan dirinya.

"Saya ingin tegaskan bahawa motif serangan tidak ada kaitan langsung dengan hal politik. Sebaliknya ia berpunca akibat masalah peribadi melibatkan pembantu khas itu dengan kumpulan lelaki tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mat Fauzi yang enggan mengulas lanjut bagaimanapun mengesahkan polis telah menahan empat orang bagi membantu siasatan kes serangan berkenaan.

Bernama difahamkan pembantu khas berkenaan dan seorang wanita merupakan antara empat yang ditahan polis itu dan kesemua mereka dijangka dihadapkan ke mahkamah Isnin ini.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah ketika dihubungi berkata kejadian serangan dipercayai adalah bermotifkan cemburu yang melibatkan seorang wanita.

Beberapa laman blog melaporkan sekumpulan lelaki bersenjatakan cota dan senjata tajam yang tiba dalam tiga buah kereta telah menyerang pembantu khas berkenaan pada pukul 8.40 malam tadi ketika beliau sedang minum di sebuah warung berdekatan pejabat Pusat Khidmat DUN Kuala Kurau.

Tiada ulasan: