Jumaat, 8 Mei 2009

Polis bebaskan semua 69 orang

Jimadie Shah Othman


Semua 69 orang termasuk 10 ADUN dan ahli parlimen Pakatan Rakyat - yang ditahan di sekitar DUN Perak sewaktu sidang dewan sedang berlangsung - dibebaskan.

Demikian disahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam sidang media mengumumkan pembebasan 13 tahanan ISA pagi ini di Putrajaya.

Sepuluh wakil rakyat pembangkang yang ditahan di sekitar bangunan dewan tersebut dibebaskan sejak petang semalam - yang terakhir ahli parlimen PKR Batu, Tian Chua selepas jam 10 malam.

Selain Tian, polis turut membebaskan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang), Mujahid Yusuf Rawa (PAS-Parit Buntar), D Jeyakumar (PKR-Sungai Siput), Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian), Jenice Lee (DAP-Teratai), Leong Nga Nga (DAP-Triang), Teoh Kok Seong (DAP-Bahau), Koid Teng Guan (DAP-Sungai Pinang) dan Khoo Poay Tiong (DAP-Air Keroh).

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah malam tadi berkata, 54 orang ditahan kerana engkar perintah penjawat awam supaya tidak berhimpun dalam kawasan 500 meter daripada tempat DUN bersidang.

Seramai 14 orang lagi ditahan kerana berhimpun tanpa permit, dan seorang lagi ditangkap di bawah Akta Hasutan di sebuah gerai di Tambun, tidak jauh dari Ipoh.

Diminta mengulas tindakan polis memasuki dewan DUN Perak, Zulkifli menjelaskan, pasukan polis hanya "mengiringi tugas bentara" kerana "bentara tidak dapat mengawal keadaan".

"Apa juga tindakan kita menurut permintaan Speaker (R Ganesan, yang baru dilantik)," katanya.

Mengulas penahanan seorang naib presiden PAS, Zulkifli berkata, Mohamad Sabu ditangkap susulan kenyataannya di satu sidang media di Kuala Lumpur untuk menganjurkan solat hajat dan munajat di Manjoi menjelang subuh pagi semalam.

Tiada ulasan: