Selasa, 19 Mei 2009

Permit teksi LCCT, KLIA kena beku

Oleh Azrina Ahzan


SEPANG: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) diarah membekukan pengeluaran permit teksi untuk laluan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuala Lumpur berkuatkuasa serta-merta bagi mengelakkan pemandu teksi menanggung kerugian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, berkata jumlah permit teksi yang terlalu banyak ketika ini iaitu kira-kira 1,567 menyebabkan berlakunya ‘lambakan’ teksi di terminal berkenaan.

"Pemandu teksi mempertikaikan lambakan permit teksi di LCCT dan ia menjejaskan pendapatan mereka kerana hanya boleh mengambil penumpang sebanyak tiga kali sehari dan ia tidak mencukupi untuk menampung kos operasi.

"Oleh itu, kita bersetuju untuk membekukan pengeluaran permit teksi dan mengekalkan jumlah sedia ada sehingga keadaan memerlukan kita untuk mengkajinya semula," katanya kepada media di sini, semalam.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke LCCT dan menghadiri majlis dialog dengan wakil Malaysia Airports Holdings Bhd (MAB), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pengusaha teksi, pemandu teksi dan pengusaha pengangkutan awam yang beroperasi di terminal itu.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong; Pengerusi LPKP, Datuk Markiman Kobiran; Pengarah LPKP, Datuk Naemah Ramli dan Pengerusi Eksekutif Mesra Indah Jaya Sdn Bhd, Mohd Nasir Rashid.

Nazri juga berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pengangkutan supaya sekatan jalan raya dapat diadakan setiap hari di laluan keluar dari LCCT, bagi menangani masalah ‘ulat teksi.’

"LPKP tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan, jadi kita memerlukan bantuan JPJ dan polis untuk membuat sekatan jalan raya bagi menahan mana-mana teksi yang mengambil penumpang dengan bantuan `ulat teksi'.

"Malah, LPKP juga akan mengambil tindakan membatalkan permit teksi yang terbabit dengan `ulat teksi ini," katanya.

Mengenai kadar tambang dari LCCT ke Kuala Lumpur (KL) yang lebih rendah berbanding KLIA - KL, beliau berkata, LPKP akan mengkaji semula kadar itu kerana jarak antara LCCT - KL adalah lebih 13 kilometer berbanding KLIA - KL.

Mengulas mengenai dialog berkenaan, katanya semua pihak sudah diingatkan supaya mengutamakan kepentingan kira-kira 30,000 penumpang yang menggunakan LCCT.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mahu memonopoli sebarang perkhidmatan di sini sebaliknya kita perlu bekerjasama bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik diberikan kepada orang ramai," katanya.

Tiada ulasan: