Ahad, 3 Mei 2009

Perkenal model ekonomi baru

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM


KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membantu meningkatkan pendapatan pekerja di negara ini melalui usaha mewujudkan satu model ekonomi baru yang berteraskan kepada peningkatan produktiviti, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, matlamat model itu ialah untuk meningkatkan pendapatan dan akan dirangka oleh Majlis Ekonomi yang dibarisi pakar-pakar termasuk dari dalam dan luar negara.

“Kita akan beri skop kerja kepada mereka untuk mencadangkan satu model ekonomi baru kepada negara tentang bagaimana kita boleh menganjakkan ekonomi negara daripada pendapatan pertengahan tinggi kepada pendapatan tinggi.

“Salah satu terasnya ialah bagaimana kita boleh tingkatkan produktiviti bukan sahaja melalui sumbangan pekerja dan waktu kerja masa tambahan tetapi daripada segi penambahan melalui inovasi dan kreativiti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2009 di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, apabila semuanya digabungkan maka tahap pengeluaran yang lebih tinggi pasti akan dapat dilakukan.

“Sebab itu apabila kita mahu mencapai keadaan sedemikian maka kita boleh memberi gaji yang lebih besar kepada pekerja-pekerja kita,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib berkata, pekerja merupakan tunjang terhadap kestabilan dan kesejahteraan sesebuah negara.

Oleh sebab itu, jelas beliau, hubungan tiga segi yang erat iaitu antara pekerja, majikan dan kerajaan perlu dikekalkan iklim keharmoniannya begitu juga dengan pemuafakatan jitu.

Sebaliknya, beliau berkata, apabila hubungan tiga segi itu berasaskan kepada prinsip konfrontasi, ia bukan sahaja tidak menguntungkan pekerja dan majikan tetapi akan turut menjejaskan kestabilan negara.

“Negara tidak akan berjaya sekiranya kerajaan tidak memberikan keutamaan kepada kebajikan pekerjanya. Sebenarnya negara terhutang budi kepada pekerja, jadi marilah kita berganding bahu untuk majukan negara,” katanya.

Tiada ulasan: