Jumaat, 15 Mei 2009

Perak: Perbincangan BN-Pakatan mesti 'sama-sama menang'

Muda Mohd Noor


Perbincangan antara BN dan Pakatan Rakyat berhubung kemelut politik di Perak perlu berlandaskan kepada konsep 'sama-sama menang', kata Ketua Penerangan Umno negeri Datuk Saarani Mohamad.

Beliau yang juga exco kerajaan negeri berkata, ia perlu menguntungkan dan memberi kesejahteraan kepada rakyat Perak.

“BN tidak ada ego kerana kami mahu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri itu.

“Saya rasa rakyat Perak tidak mahu sebarang perbincangan yang ada agenda tertentu.

“Pakatan perlu menjadi pembangkang yang baik di Perak dan bukannya cuba menganggu pentadbiran kerajaan negeri.

“Mereka perlu menerima hakikat bahawa majoriti kerusi DUN milik BN iaitu 31 kerusi, manakala PR cuma 28 DUN,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Saarani yang juga ketua Umno bahagian Lenggong berkata, jika PR mengenakan syarat tertentu, ia bermakna pakatan tidak ikhlas untuk mengadakan perbincangan.

Tolak pembubaran DUN

Ketika ditanya mengenai desakan Pakatan supaya DUN Perak dibubarkan, Saarani berkata, syarat tersebut boleh menyebabkan pertemuan tersebut tidak menjadi kenyataan.

“Kalau letak syarat sebegitu, saya pasti pertemuan tersebut tak jadi.

“Mana boleh buat syarat dulu. Kena bincang dahulu, baru ada syarat perbincangan,” katanya.

Saarani berkata, Umno negeri menolak pembubaran DUN kerana ia memerlukan perbelanjaan yang sangat besar untuk mengadakan pilihanraya.

Katanya, Perak yang mempunyai 59 DUN memerlukan kira-kira RM50 juta untuk mengadakan pilihanraya negeri.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menyatakan kesediaan BN untuk mengadakan perbincangan dengan Pakatan bagi menyelesaikan kemelut politik Perak.

Tiada ulasan: