Ahad, 31 Mei 2009

Penyakit "Dua" Presiden Serang PPP Angkara Umno

TV ANTARA


Kemelut politik yang melanda Parti Progresif Penduduk (PPP) dijangka bertambah kusut apabila M. Kayveas menang tanpa bertanding jawatan Presiden untuk penggal lima tahun bagi kali keempat.

PPP kini diserang penyakit "dua" seperti Perak yang mempunyai dua Menteri Besar dan dua Speaker.

Selain Kayveas, seorang lagi yang mengisytiharkan diri beliau presiden parti ialah Senator T. Murugiah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

PPP sebelum itu memecat Murugiah 16 Mei lalu dan beliau diberi masa sehingga tengah malam ini untuk mengemukakan rayuan supaya diterima semula ke dalam parti.

Kayveas dalam ucapan kemenangannya 99.9 peratus daripada sejumlah 500,000 anggota berdiri teguh di belakangnya dan hanya "segelintir 0.1 peratus" sahaja yang menimbulkan masalah.

Yang dimaksudkan dengan segelintir ahli ialah Murugiah dan penyokong beliau.

"PPP adalah kukuh dan akan menjadi bertambah kukuh dalam tahun-tahun mendatang serta berupaya mengatasi segala cabaran," katanya kepada penyokong.

Murugiah mengisytiharkan dirinya "presiden baru PPP" berikutan mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan Ahad lalu di Putrajaya,.

Tindakan beliau itu dikutuk oleh Kayveas yang meminta Murugiah "memeriksa kepalanya di Tanjung Rambutan".Pendaftar Pertubuhan (ROS) hanya mengiktiraf Kayveas sebagai presiden yang sah sementara menunggu siasatan berhubung dakwaan ketidakpatuhan terhadap peraturan dan undang-undang parti.

"Kami melakukan persediaan supaya pejabat dibuka sehingga tempoh itu untuk beliau mengemukakan rayuan," kata Kayveas.

"Saya beri jaminan kepada beliau bahawa parti akan menimbangkan rayuannya dengan adil. Bagaimanapun, sekiranya beliau gagal merayu menjelang tempoh akhir itu, beliau dianggap sebagai telah pun dipecat," katanya.

Kayveas turut mengumumkan kepada penyokong yang berhimpun itu bahawa Pejabat Perdana Menteri telah pun mengesahkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan merasmikan perhimpunan agung PPP pada 7 Jun.

Murugiah berkata beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri siapa yang layak menjadi Presiden PPP.

Tiada ulasan: