Sabtu, 9 Mei 2009

Pembebasan 13 Tahanan ISA kosmetik murah untuk alih pandangan rakyat

Anis Nazri


KUALA LUMPUR - Pembebasan 13 tahanan ISA, termasuk tiga pemimpin Hindraf, disifatkan sebagai satu usaha terdesak kepimpinan Najib Tun Razak selepas terpaksa berhadapan dengan siri tekanan rakyat.

Meskipun pembebasan ini dialu-alukan, Angkatan Muda KeADILan melihat usaha terbaru kerajaan BN ini hanyalah bersifat kosmetik dan bersifat jangka pendek semata-mata.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin, ini terbukti dengan penahanan aktivis Bersih, Wong Chin Huat dan beberapa wartawan; Naib Presiden PAS, Hj Mohamad Sabu tanpa sebarang alasan; penahanan lebih daripada 60 pemimpin Pakatan Rakyat, ahli parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), aktivis dan orang awam di kawasan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perak; pencabulan demokrasi paling dahsyat dalam sejarah dunia di sidang Dun Perak; dan terbaru penahanan 14 aktivis dan 5 peguam yang mengadakan program Nyalaan Lilin di Balai Polis Brickfield.

"Siri-siri pencabulan demokrasi ini jelas membuktikan slogan '1Malaysia' Najib hanyalah kosmetik tiruan yang tidak menjanjikan apa-apa perubahan.

"Malah, pembebasan pemimpin Hindraf, yang juga Adun Kota Alam Shah, M. Manoharan juga membuktikan bagaimana BN terjerat dengan ura-ura sebuah lagi pilihan raya kecil bakal diadakan di Selangor," tegas beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Justeru, AMK menggesa agar Najib serta kerajaan BN seluruhnya jangan sesekali memperbodohkan rakyat dengan tindakan bacul mereka memanipulasi undang-undang demi melampiaskan hawa nafsu mereka.

Tambah beliau, pembebasan ini tidak boleh dilihat sebagai satu 'usaha murni' sama sekali, kerana ianya jelas satu bentuk usaha terdesak demi menjaga imej.

Dalam pada itu, Shanmsul juga mendesak agar Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussien, membebaskan kesemua tahanan ISA sekiranya beliau benar-benar tidak berselindung di balik tabir kuasa.

Katanya, demokrasi Malaysia mengalami defisit yang sangat mendukacitakan, dan rakyat sama sekali tidak akan diam dan tunduk kepada mainan politikus rakus yang sedang bergelut di akhir kemuncak kuasa. - mns_

Tiada ulasan: