Sabtu, 30 Mei 2009

Pelajar Malaysia lemas di AS

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR – Seorang pelajar negara ini yang menuntut di Pennsylvania State University, Amerika Syarikat (AS) meninggal dunia setelah lemas ketika bercuti di Great Smokey Mountain National Park, Tennessee, pada 24 Mei lalu.

Kejadian berlaku semasa Allahyarham Nublan Zaki Norhadi, 20, bercuti di kawasan peranginan itu bersama 30 rakannya dari universiti sama setelah tamat peperiksaan pengajian tahun satu.

Allahyarham lemas kira-kira pukul 7 malam dan mayatnya ditemui oleh renjer taman negara di kawasan itu pada pukul 1 petang keesokan harinya.

Pengarah Hal Ehwal Korporat Majlis Amanah Rakyat (Mara), Hasni Suleiman berkata, berikutan kejadian itu, Mara telah menghubungi keluarga Allahyarham untuk memaklumkan berita berkenaan.

Urusan penyempurnaan jenazah telah dikendalikan oleh pegawai-pegawai di Pejabat Mara di Washington DC, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham akan dibawa balik ke Malaysia dari Newark, New York, semalam dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kira-kira pukul 7.15 pagi esok, jelas beliau.

Tiada ulasan: