Rabu, 27 Mei 2009

Pegawai perhubungan pelanggan didakwa hantar emel gambar lucah

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pegawai perhubungan pelanggan sebuah syarikat pembinaan swasta hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menghantar e-mel yang mengandungi 55 fail gambar lucah kepada seorang wartawan wanita majalah Gosip.

Roslan Abu Bakar, 49, dari Bukit Sekilau, Kuantan didakwa menggunakan rangkaian kemudahan Internet secara sedar untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk mengganggu Dayangku Intan Mohamed Rusli.

Mengikut kertas pertuduhan Roslan menghantar emel itu melalui akaun lannsemut@hotmail.com kepada zera95@pd.jaring.my yang dimiliki oleh Dayangku Intan.

Roslan didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Pusat Perkhidmatan Parlimen Kuantan di BII0 Ting 2, Jalan Tun Ismail, Kuantan, kira-kira pukul 9.30 pagi 22 Ogos 2000.

Roslan menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan jika disabitkan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal meminta mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Roslan yang tidak diwakili peguam meminta mahkamah agar mengurangkan jaminan itu kerana adik beliau yang akan menjaminnya hanya mempunyai wang lebih kurang RM1,000 sahaja.

"Pada masa itu saya masih muda dan tidak berniat hendak hantar gambar-gambar itu, tolonglah Puan Hakim kurangkan jaminan ini," rayu Roslan yang berkata yang ia mempunyai ibu bapa dan anak yang masih kecil untuk ditanggung.

Hakim Rozana Ali Yusoff menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun ini untuk sebutan semula kes itu.

Roslan membayar jaminan itu.

Tiada ulasan: