Jumaat, 1 Mei 2009

PAS cadang wakil kesatuan sekerja dalam lembaga pengarah syarikat-syarikat

Abdul Aziz Mustafa


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang menetapkan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia melantik wakil kesatuan sekerja sebagai ahli lembaga pengarahnya.

Cadangan itu terkandung dalam lima cadangannya kepada kerajaan sempena Hari Buruh hari ini.

"Perkara itu telah lama dipraktikkan di negara-negara Kesatuan Eropah (EU).

"Kerajaan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dengan memulakan amalan ini di dalam GLC," katanya sambil mengucapkan Hari Buruh dari PAS kepada para pekerja.

Beliau juga menggesa kerajaan melaksanakan cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan melaksanakan skim gaji minima RM1,200 sebulan.

"Selain itu, oleh kerana dari masa ke masa banyak kilang dan syarikat yang memberhentikan pekerja, kerajaan mestilah melaksanakan skim pampasan atau insurans pemberhentian kerja," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mencadangkan kerajaan mewujudkan skim biasiswa dan derma siswa kepada pekerja yang ingin melanjutkan pelajaran.

"Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula mesti dirombak supaya lebih prihatin, bertanggungjawab dan bertimbangrasa kepada para pekerja serta tidak terlalu birokratik," katanya lagi._

Tiada ulasan: