Isnin, 25 Mei 2009

Parti Kayveas ada dua presiden

KOSMO!


PUTRAJAYA – Kemelut politik Parti Progresif Penduduk (PPP) terus meruncing apabila satu perhimpunan tergempar yang didakwa dianggotai 1,760 perwakilan dari 778 cawangan parti itu memilih Senator Datuk T. Murugiah (gambar) sebagai presiden baru.

Perkembangan terbaru ini menimbulkan keadaan seolah-olah PPP kini mempunyai dua orang presiden, manakala perhimpunan yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam juga dipersoalkan kesahihannya mengikut perlembagaan parti itu.

Bagaimanapun pada sidang akhbar kemudian, Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Perhimpunan Agung itu adalah sah mengikut perlembagaan parti.

Kepada pertanyaan wartawan adakah mengikut perlembagaan parti hanya presiden parti sahaja yang boleh memanggil mesyuarat itu, Murugiah berkata: “Perkara seperti itu tidak wujud... bahagian perundangan itu biarkan ia kepada peguam untuk mengendalikannya dan kita juga serah semua keputusan pada ROS (Pendaftar Pertubuhan) biar ROS buat siasatan.”

Murugiah berkata, beliau juga akan memaklumkan keputusan mesyuarat semalam kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas mengenai wujud dua presiden PPP, Murugiah berkata: “Keputusan telah dibuat oleh perwakilan dan usul sudah diluluskan sebulat suara memilih saya, saya cuma dijemput hadir pada hari ini (semalam).

Tiada ulasan: